Sunday, January 4, 2009

PENGHIJRAHAN MINDA DAN TASAWUR

Oleh: Hasnan bin Kasan

Panel Penulis JAKIM

Hijrah berasal daripada perkataan bahasa Arab yang membawa maksud meninggalkan satu tempat untuk menuju ke tempat lain. Ada di kalangan ahli bahasa yang memberi erti hijrah adalah merangkumi hijrah jasmani dan hijrah rohani. Maksud hijrah jasmani ialah meninggalkan satu-satu tempat. Manakala hijrah rohani pula ialah meninggalkan satu-satu sikap, kepercayaan, akidah, emosi dan tasawur serta menggantikannya dengan yang lain.

Hijrah amat terkenal di kalangan umat Islam kerana ia berkait rapat dengan peristiwa perpindahan Rasulullah s.a.w daripada Mekah ke Madinah dan juga merupakan tarikh permulaan pengiraan tahun Islam. Hijrah lahiriah atau perpindahan badan dari satu tempat ke satu tempat atau dari satu negeri ke negeri yang lain merupakan sesuatu yang mudah dilakukan oleh manusia. Sememangnya manusia kerap berhijrah dari satu tempat ke satu tempat yang lain dengan tujuan yang tertentu. Saidina Jaafar ibn Abi Talib dengan rombongannya telah berhijrah ke Habsyah untuk menyelamatkan diri dari tekanan pihak musyrikin Quraisy yang begitu dahsyat. Ramai para sahabat r.a selepas itu telah berhijrah ke Madinah untuk menyelamatkan akidah mereka dari diancam oleh musyrikin Mekah.

Di negara kita, ramai penduduk kampung telah berhijrah ke bandar. Tidak kurang juga yang berhijrah dari bandar ke bandar dengan tujuan untuk menambah pendapatan atau mencari keselesaan melalui pelbagai cara dan bidang mengikut kebolehan dan kelayakan masing-masing. Di peringkat yang lebih rendah lagi, haiwan dan binatang juga melakukan hijrah dari satu tempat ke satu tempat terutama di kawasan gurun atau tanah lapang yang luas semata-mata untuk mendapatkan makanan dan perlindungan akibat daripada perubahan musim dan cuaca.

Jika diteliti maka sudah pasti terdapat perbezaan yang amat jelas antara hijrah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda dengan hijrah yang dilakukan oleh manusia zaman sekarang iaitu yang tinggal di kampung menuju ke bandar. Hijrah Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.a adalah bertujuan menyelamatkan agama dan akidah, mencari jalan bagi melicinkan usaha memantapkan penghayatan agama dan merupakan usaha mengembangkan risalah Islam kepada seluruh manusia sekalipun mereka terpaksa menanggung kerugian duniawi. Abu Bakar dan Abdul Rahman bin Auf r.a telah meninggalkan semua harta mereka di Mekah untuk berhijrah ke Madinah setelah kaum muysrikin Mekah menghalang mereka membawa bersama-sama harta mereka. Manakala hijrah atau perpindahan manusia zaman kini dari kampung ke bandar adalah bertujuan mencari rezeki dan keselesaan hidup. Namun, kedua-dua bentuk hijrah dan perpindahan tersebut tetap mendapat ganjaran dari Allah s.w.t selagimana ia dilakukan kerana-Nya.

Intipati peristiwa hijrah baginda Rasulullah s.a.w dari Mekah ke Madinah bukan sahaja tertumpu kepada perpindahan jasadiah yang dapat disaksikan oleh mata, akan tetapi tujuannya yang lebih penting ialah untuk membimbing dan mendidik para sahabat r.a yang baru sahaja memeluk agama Islam ke arah kesempurnaan penghayatan Islam sedikit demi sedikit. Pendek kata, falsafah penghijrahan Rasulullah s.a.w dari Mekah ke Madinah adalah untuk memastikan perpindahan keyakinan, tasawur, akhlak dan sikap para sahabat r.a dari pengaruh jahiliyah kepada pengaruh wahyu dan fitrah, dapat berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan. Falsafah hijrah ini dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w ketika baginda menegur kata-kata Saidina Umar kepada Bilal 'Wahai anak hitam'. Baginda berkata kepada Umar 'Sesungguhnya pada diri engkau ada ciri jahiliyah'.

Falsafah hijrah yang telah disemai dan dididik oleh Rasulullah s.a.w ke dalam diri para sahabat r.a ini perlu dihayati oleh generasi Islam masa kini. Sekiranya dengan berbekalkan falsafah hijrah, Rasulullah s.a.w berjaya membentuk sebuah masyarakat Islam yang unggul dan menjadi tuan kepada masyarakat-masyarakat yang bukan Islam di sekeliling Madinah, maka mengapa tidak generasi Islam masa kini menjadikannya sebagai neraca untuk membentuk masyarakat yang unggul dan disegani dalam segenap lapangan.

Sekiranya masyarakat Islam yang awal amat disegani dan dihormati oleh masyarakat yang bukan Islam, mengapa pula umat Islam hari ini dengan bilangannya yang ramai, muka buminya yang luas, kekayaan bahan mentahnya yang melimpah ruah dan cerdik pandainya yang tidak kurang hebatnya, masih menjadi masyarakat yang dipandang rendah dan diperlekehkan oleh masyarakat bukan Islam. Masyarakat Islam masa kini juga telah dijadikan oleh masyarakat bukan Islam terutama masyarakat Barat sebagai tempat memasarkan barangan keluaran mereka. Al Syahid Sayid Qutub ada menyatakan, 'Sehinggakan untuk mendapatkan sebatang jarum pun orang Islam terpaksa mengimportnya dari Barat'.

Di samping membawa para sahabat r.a berhijrah ke Madinah, Rasulullah s.a.w telah turut membawa bersama-sama minda mereka untuk berhijrah dari kepercayaan, tasawur, sikap dan akhlak jahiliyah kepada kepercayaan, tasawur, akhlak dan sikap yang bertepatan dengan wahyu yang diturunkan oleh Allah s.w.t. Sebagai contoh, peristiwa ketika berada di dalam gua Tsur, baginda telah membetulkan kepercayaan dan tasawur yang ada di dalam minda Saidina Abu Bakar r.a. Tatkala melihat Saidina Abu Bakar r.a berada di dalam keadaan ketakutan dan kerisauan iaitu bimbangkan baginda berjaya dikesan atau diapa-apakan oleh kaum musyrikin Mekah, baginda pun berkata 'Janganlah engkau berasa risau dan sedih, sesungguhnya Allah ada bersama-sama kita'.

Dalam merobohkan tasawur jahiliyah daripada masyarakat Islam yang baru mengenal agama Islam tentang konsep persaudaraan sesama manusia tanpa mengenal batas sempadan negeri, warna kulit dan keturunan, baginda telah mempersaudarakan antara dua golongan yang mempunyai perbezaan yang jauh dari segi status. Baginda telah mempersaudarakan antara golongan yang mempunyai rumah dan tanah (Ansar) dengan golongan pendatang (Muhajirin) yang tidak mempunyai apa-apa selain dari diri dan agama yang mereka yakini.

Dalam menghijrahkan tasawur mereka tentang kedudukan seorang nabi atau rasul, baginda telah menunjukkan betapa diri baginda adalah manusia biasa yang tidak ada bezanya dengan manusia lain. Cuma bezanya Allah telah menurunkan wahyu kepadanya dan menyuruhnya supaya menyampaikannya pula kepada seluruh manusia. Di dalam peperangan Badar, baginda telah menunjukkan betapa orang lain juga berhak memberikan pendapat sekalipun dalam saat-saat genting. Apabila salah seorang dari sahabat baginda mencadangkan supaya tentera Islam berkubu di bawah lembah berhampiran dengan kawasan air, baginda telah menerima cadangan tersebut sekalipun pada asalnya baginda mempunyai perancangan dan cadangan yang tersendiri. Di dalam peperangan Uhud pula, baginda telah bersama-sama berjuang sehingga ditimpa kecederaan yang biasa dialami oleh pejuang-pejuang lain. Di dalam peperangan Ahzab, baginda turut bersama-sama mengerah tenaga untuk menggali parit yang telah dicadangkan oleh Salman al Farisi. Malah diriwayatkan bahawa baginda telah mengangkat batu yang besar yang tidak upaya diangkat oleh para sahabat r.a yang lain dan baginda telah mengalas batu di perut untuk menahan lapar akibat kekurangan makanan.

Di dalam peperangan Hunain, tatkala tentera Islam melihat bilangan mereka lebih ramai daripada bilangan tentera musuh lalu mereka merasakan bahawa mereka pasti mengalahkan tentera musuh. Namun Allah telah mengajar dan membawa minda mereka berhijrah. Allah s.w.t telah mengajar orang-orang Islam bahawa yang menentukan kemenangan dan kekalahan dalam peperangan itu adalah Allah s.w.t, bukannya bilangan dan kelengkapan yang hebat. Allah s.w.t telah menimpakan kekalahan di pihak tentera Islam sehingga Rasulullah s.a.w pula terdedah kepada serangan dan ancaman pihak musuh sehingga peristiwa ini telah diabadikan oleh Allah s.w.t dalam al-Quran.

Dalam membetulkan tasawur para sahabat r.a tentang kehidupan di dunia, Rasulullah s.a.w telah menghijrahkan minda mereka ketikamana baginda bersama-sama beberapa orang sahabat sedang berehat di bawah sebatang pokok dalam satu perjalanan. Baginda telah berkata kepada para sahabat: 'Sesungguhnya perumpamaan kehidupan dunia adalah seperti kita singgah di bawah pohon ini. Kita hanya singgah buat sementara waktu dan akan meneruskan perjalanan selepas beberapa ketika'. Dalam sabdanya yang lain, baginda telah menjelaskan kepada para sahabat bahawa 'Dunia adalah ladang tempat bercucuk tanam untuk alam akhirat'.

Dalam membetulkan tasawur para sahabat r.a terhadap konsep usaha dalam kehidupan dunia, Rasulullah s.a.w telah menghijrahkan minda para sahabat r.a bahawa sekalipun Islam menekankan bahawa kehidupan akhirat itu merupakan kehidupan yang lebih baik dan kekal tetapi ia bukan bermakna boleh membantutkan usaha manusia ketika hidup di dunia ini. Baginda telah membayangkan, sekalipun seseorang itu tahu bahawa hari kiamat akan berlaku pada keesokan hari namun dia tetap perlu melakukan kerja atau usaha yang sepatutnya dilakukan. Dalam perkara ini, baginda telah bersabda yang bermaksud, 'Sekiranya ditangan kamu ada benih kurma dan kamu tahu bahawa esok akan berlaku hari kiamat, maka hendaklah kamu menanam dan jangan biarkan hari kiamat berlaku tanpa menanam benih kurma tersebut'. Jika difikirkan, apalah faedahnya menanam benih kurma yang sudah pasti tidak akan mengeluarkan hasilnya dalam tempoh beberapa jam sedangkan keesokan harinya akan berlaku hari kiamat. Si penanam sudah pasti tidak akan sempat memakan hasil benih yang ditanamnya itu.

Namun baginda telah melafazkan hadith ini untuk membawa minda para sahabat r.a dan umat Islam bahawa tugas manusia di dunia ini ialah menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan sesempurna yang mungkin tanpa bersikap sambil lewa atau cuai. Ini kerana setiap tugas dan tanggungjawab yang ditunaikan akan dikira oleh Allah sebagai kebajikan sekalipun hasilnya tidak sempat dirasai oleh pelaku ataupun orang lain.

Baginda juga telah menanamkan ke dalam kefahaman masyarakat Islam bahawa alat atau jambatan untuk sampai ke akhirat adalah kehidupan dunia. Mereka yang meninggalkan kehidupan di dunia dengan alasan untuk menumpukan perhatiannya kepada kehidupan akhirat merupakan orang yang tersalah anggap terhadap konsep di dalam kehidupan Islam. Ini kerana kebahagiaan atau penderitaan di akhirat adalah bergantung kepada amalan dan usaha manusia ketika hidup di dunia. Di dunia manusia dipikulkan dengan tanggungjawab dan kewajipan yang mesti ditunaikan dengan sempurna, iaitu apabila sahaja dia bertaraf mukallaf dan berakal. Bagaimana mungkin manusia itu hendak mendakwa kebahagiaan menantinya di akhirat sedangkan dia tidak mengenali kewajipan dan tanggungjawab yang mesti ditunaikan ketika dia hidup di dunia?.

Antara para sahabat r.a yang telah menerima penghijrahan minda yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w ialah Saidina Umar al Khattab r.a. Beliau telah memahami bahawa dalam mencari kemudahan dan bekalan kehidupan dunia, manusia tidak boleh berserah kepada Allah tanpa berusaha. Dengan kefahaman ini, Umar telah memarahi orang Islam yang hanya duduk beribadah di dalam masjid tanpa keluar berusaha mencari rezeki bagi menyara diri dan keluarganya. Beliau telah mengungkap kata-kata yang kekal dalam catatan sejarah Islam yang unggul 'Bagaimana kamu boleh hanya berserah diri kepada Allah sedangkan kamu tahu bahawa langit tidak akan menurunkan hujan emas atau perak'. Saidina Umar r.a juga telah mengeluarkan kata-kata yang menunjukkan penghijrahan minda dan keyakinannya berhadapan sesama makhluk ketika beliau sedang mengucup Hajar al Aswad, 'Wahai batu, sekiranya aku tidak melihat Rasulullah mengucup engkau nescaya aku tidak akan mengucup engkau sepertimana yang aku lakukan sekarang ini'. Begitulah jelasnya tasawur Saidina Umar r.a terhadap Hajar al Aswad yang tidak boleh mendatangkan manfaat atau mudarat kepadanya. Tasawur ini terhasil setelah Umar r.a menerima sinar hidayah dan penjelasan daripada ajaran Muhammad s.a.w yang menanamkan keyakinan bahawa kuasa yang boleh mendatangkan mudarat dan manfaat kepada manusia hanyalah kuasa yang datang dari Allah Tuhan Penguasa alam.

Demikianlah penghijrahan minda yang telah dibawa oleh Islam yang telah disampaikan oleh junjungan besar nabi Muhammad s.a.w. Usaha memahamkan manusia dengan konsep dan tasawur yang telah dibawa oleh baginda itu telah diteruskan oleh para sahabat, para tabi’in, para salafus soleh serta para ulama dan pendakwah di masa dulu dan sekarang. Mereka sentiasa ingin melihat manusia hidup sebagai hamba kepada Allah dan bukannya hamba kepada nafsu atau makhluk lain dan juga jauh dari tasawur atau keyakinan yang tidak menepati ajaran Islam yang sebenar. Ini kerana Islam datang dengan tujuan membebaskan manusia daripada penjajahan minda dan tasawur. Perkara ini telah dijelaskan oleh Ruba’ei bin Umair ketika beliau berhadapan dengan Rustam, panglima perang Rum yang digeruni oleh pihak lawan dan rakan. Rustam telah bertanya kepada Ruba’ei 'Mengapa engkau datang kepada kami ?'. Ruba’ei menjawab 'Kami datang untuk mengeluarkan manusia daripada menjadi hamba sesama manusia kepada menjadi hamba kepada Allah, dari kegelapan syirik kepada cahaya tauhid dan mengeluarkan manusia daripada kesempitan dunia kepada keluasan akhirat'.

Usaha-usaha menghijrahkan minda dan tasawur manusia zaman kini amat perlu dan mesti dilakukan untuk memastikan semua manusia akan terus menjalani kehidupan dengan berlandaskan pemikiran bahawa dirinya adalah bebas dari sebarang perhambaan dan ketundukkan sama ada sesama manusia atau makhluk lain. Dalam erti kata lain, usaha-usaha membawa minda dan tasawur masyarakat Islam masa kini untuk berhijrah ke alam suluhan cahaya hidayah Ilahi amat perlu bagi memastikan setiap individu muslim menikmati kemerdekaan yang penuh dari sebarang unsur penjajahan sama ada penjajahan lahiriah ataupun batiniah. Dengan membebaskan diri dan jiwa manusia dari perhambaan atau penjajahan serta menjadikannya bebas merdeka, kita akan dapat melihat manusia berupaya mengketengahkan sifat-sifat positif yang wujud di dalam diri mereka dan mengusir jauh sifat-sifat negatif yang sentiasa menghalang perkembangan dan pembangunan manusia.

Kemerdekaan dan kebebasan manusia dari segi lahiriah dan batiniah ini amat perlu untuk menuju ke sebuah masyarakat yang matang dan bertamadun. Segenap lapisan masyarakat sama ada di kampung, di kota, pelajar, pendidik, ahli perniagaan, ahli politik, ahli agama, pemimpin, pentadbir dan sebagainya perlu menghayati penghijrahan minda dan tasawur sepertimana yang telah dihayati oleh para sahabat Rasulullah s.a.w di suatu ketika dahulu. Sungguhpun negara kita telah memperolehi kemerdekaan semenjak berdekad dahulu, namun penjajahan minda masih lagi wujud dan bertapak kuat sehingga sekarang. Masih ada di kalangan masyarakat negara Malaysia yang berkeyakinan bahawa barangan buatan tempatan mempunyai mutu yang lebih rendah berbanding barangan buatan luar negeri terutama yang datang dari Barat.


Masih juga ramai yang mempunyai tasawur bahawa negara ini hanya layak ditadbir dan diperintah mengikut telunjuk Barat atau kuasa asing kerana masyarakat Malaysia adalah masyarakat yang kurang pengalaman dan dangkal dalam segi pemerintahan. Sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan umat ini pasti terserlah apabila mereka telah benar-benar melakukan penghijrahan minda dan tasawur sebagaimana yang dilakukan oleh generasi hijrah para sahabat Rasulullah s.a.w lebih 1400 tahun dahulu.

TAHUN BARU MASIHI DAN HIJRAH: RASA LEKA VS RASA SYUKUR

Tahun baru yang tiba membuka lembaran episod baru dalam kehidupan kita umat manusia. Siang dan malam yang silih berganti tanpa jemu melengkapkan peredaran sehingga cukup setahun tidak kira tahun hijrah dan masihi yang akan disambut selang beberapa hari. Umat manusia menggaru kepala memikirkan kenapa begitu cepat masa berlalu sedangkan baru beberapa kerja dilakukan, baru beberapa agenda dilaksanakan dan kenapa masa berputar sebegitu pantas.

Anak-anak di Palestin terus menghitung hari bila agaknya mereka merdeka kerana setiap hari mereka senantiasa mendengar dentuman bom dan nyanyian peluru yang tidak bermata oleh Yahudi dan Amerika. Anak-anak muda Malaysia menghitung waktu bila tahun baru masihi akan disambut untuk melihat konsert-konsert, berpesta minuman keras, berhibur sehingga melalaikan dan yang menjadi simbol tahun baru bermula dengan percikan bunga api di langit-langit bandaraya metropolitan di Negara Malaysia .

Tahun 1430 hijrah akan tiba dengan membawa seribu erti kepada umat Islam yang mengerti erti sebuah kehidupan yang diredhai oleh Allah s.w.t. Peristiwa hijrah yang disambut saban tahun mengajak seluruh umat Islam untuk bermuhasabah dan mengkoreksi diri selama setahun apa yang telah dilakukan dan tidak terhenti sekadar itu sahaja, tetapi hijrah perlakuan apa yang dilakukan untuk mendapat redha Allah s.w.t. Allah s.w.t berfirman dalam surah Al-Ahsr yang bermaksud:

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati dengan kesabaran.”

Dalam ayat ini membawa kita meneliti setiap perincian detik waktu yang kita lalui sama ada diisi dengan perkara sia-sia atau dengan jalan yang diredhai oleh Allah s.w.t. Apabila melihat situasi di Malaysia pengkoreksian dan muhasabah sering diabaikan terutamanya kepada anak muda apabila tibanya tahun baru apatah lagi tahun baru hijrah.

Jika ditanya kepada anak muda dan remaja kini “ apa yang anda faham erti hijrah?”. Semestinya ramai yang menggeleng kepala dan bertanya kembali sambil menggaru kepala tanda meminta kepastian “hijrah?”. Bermain di minda masyarakat kenapa anak muda sedemikian jadinya tidak mengerti langsung erti hijrah.

Hijrah yang harus difahami adalah peristiwa perpindahan Nabi Muhammad s.a.w dan Umat Islam Mekah ke bumi Madinah untuk menyebarluaskan agama Islam setelah 13 tahun berdakwah kepada penduduk Mekah dengan hasil yang sedikit. Bertitik tolak peristiwa hijrah inilah Islam berkembang pesat sehingga seantero dunia mengenali Islam sehingga ke hari ini. Bersempena dengan penghijrahan inilah perhitungan tahun hijrah dimulakan apabila Saidina Umar Al-Khattab khalifah Islam yang kedua memanggil sahabat-sahabatnya untuk berbincang perkiraan tahun Islam setelah banyak peristiwa yang bersejarah dilalui mereka dengan pelbagai perbezaan pendapat tentang tarikh-tarikh peristiwa tersebut. Saidina Umar Al-Khattab telah memutuskan bahawa 1 Muharram merupakan hari pertama tahun Islam sementara Hijrah sebagai tahun bersempena perpindahan Nabi Muhammad s.a.w ke bumi Madinah yang pada ketika itu yang dinamakan Yathrib. Sebenarnya 1 Muharram bukanlah tarikh tepat perpindahan Rasulullah s.a.w ke Madinah. Rasulullah s.a.w telah berpindah dari Mekah al-Mukarramah pada 1 Rabiul awwal dan sampai ke Madinah pada 12 Rabiul awwal selepas 13 tahun menjadi Rasul. Saidina Umar r.a telah berijtihad dan memperawalkan 2 bulan untuk menjadikan 1 Muharram tarikh memperingati peristiwa besar perpindahan Rasulullah s.a.w.

Abu Mazaya Al-Hafiz dalam karangannya Sirah Dan Riwayat Hidup Nabi Muhammad S.A.W telah menceritakan bagaimana perit jerih Rasulullah s.a.w dalam perjalanan ke Madinah kerana musyrikin Mekah memburu Rasulullah. Bukan sekadar itu sahaja Saidina Ali sanggup mempertaruhkan nyawanya menggantikan tempat tidur Nabi s.a.w ketika malam penghijrahan berlaku. Seharusnya selaku umat Islam kita perlu mengerti bahawa hijrah bukanlah hanya soal perpindahan dari Mekah ke Madinah tetapi lebih dari itu seperti pembebasan dari belenggu penyiksaaan musyrikin Mekah terhadap muslimin Mekah. Penghijrahan ini jugalah bermulanya pembentukan Negara Islam yang unggul sehingga dikagumi oleh semua bangsa dan negara pada ketika itu kerana mempunyai sistem pentadbiran yang teratur dan tersendiri berteraskan Al-Quran dan Al-Sunnah. Rasulullah juga mempereratkan dengan mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar dalam memperkukuhkan Islam. Allah s.w.t merakamkan peristiwa persaudaraan ini dalam surah Al-hasyr yang bermaksud:

“Dan orang-orang yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman (Ansar) sebelum kedatangan mereka (Muhajirin), mereka (Ansar) mencintai orang yang berhijrah kepada mereka (Muhajirin), dan mereka (Ansar) tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin) dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin) atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan dan siapa yang dipelihara dari kebakhilan dirinya, mereka Itulah orang orang yang beruntung”

Dalam ayat ini Allah menceritakan bahawa bagaimana golongan Ansar membantu golongan Muhajirin Mekah dengan segala yang ada atas nama kecintaan persaudaraan Islam sehingga sanggup berkongsi apa sahaja dan sanggup memberikan separuh dari harta golongan Ansar kepada muhajirin.

Dengan peristiwa hijrah yang telah dilalui 1430 tahun ini seharusnya umat Islam mengerti erti sebenar hijrah agar dapat diimplimentasikan dalam kehidupan. Langkah NGO Teras Penggupayaan Melayu (TERAS) membesarkan tarikh hijrah ini amatlah dihargai kerana TERAS telah mengambil tarikh 1 Muharram sebagai tarikh muktamar justeru pengkoreksian gerak kerja yang dilakukan selama satu tahun. Presiden TERAS Tuan Haji Mohd Azmi Abdul Hamid menyatakan bahawa tarikh 1 muharram ini dijadikan asas permulaan setahun kerana umat Islam sudah melupakan erti hijrah apatah lagi kesedaran terhadap Islam kian dipinggirkan maka sambutan 1 muharram haruslah diagungkan agar Islam dipandang tinggi.

Bagi Umat Islam tahun Hijrah ini adalah detik memuhasabahkan diri dengan perlakuan terdahulu. Pengkoreksian diri memungkinkan umat Islam mengerti erti keperibadian yang cemerlang berlandaskan Al-Quran dan Al-Sunnah. 1 Muharram juga Umat Islam digalakkan memohon ampun kepada kepada Allah s.w.t atas dosa-dosa lampau agar Allah membuka pintu taubat-Nya kepada hamba-Nya yang soleh. Ibadah-ibadah juga perlu diperbanyakkan menjelangnya tahun baru hijrah ini kerana Insan yang unggul adalah Insan yang lebih baik peribadi dan ibadahnya dari yang masa lepas. Nilai-nilai ibadah perlu dipertingkatkan supaya rohani jasmani senantiasa hampir dengan Allah s.w.t.

Kebanyakan di Malaysia 1 Muharram disambut dengan bacaan Yasin dan solat hajat secara berjemaah di peringkat surau, madrasah dan juga masjid. Dengan cara inilah umat Islam berkumpul mengkoreksi diri dan secara tidak langsung dengan pertemuan sebegini mengeratkan ukhuwah dan bertepatan dengan peristiwa hijrah iaitu merperkukuhkan persaudaraan. Dengan persitiwa tahun baru juga digalakkan umat Islam memaafkan kesalahan sahabat handainya untuk merapatkan silaturrahim justeru meninggkan martabat Islam.

Selang beberapa hari perpindahan tahun hijrah kepada 1430 hijrah, menjelang pula perpindahan tahun masihi dari tahun 2008 kepada 2009. 31 Disember menjadi penantian sebilangan anak muda terutamanya di kota untuk menyembut perayaan sambutan tahun baru dengan riang gembira dan diserikan lagi kononnya dengan aktiviti yang berfaedah seperti hiburan konsert oleh artis-artis terkemuka, hidangan minuman keras, pesta seks, pesta buih, merempit dan sebagainya.

Dataran Merdeka, Bukit Bintang, Bangsar dan Kuala Lumpur City Center KLCC menjadi tempat bertandang anak muda untuk mencari erti tahun baru. Apabila ditanya kepada anak muda “ apa erti sebuah tahun baru dan di manakah tahun baru wajar disambut?” pasti ramai yang menjawab erti sebuah tahun baru adalah kemerdekaan jiwa anak muda dengan berorientasikan hiburan dan di tempat-tempat hiburanlah harus disambut tahun baru. Kemeriahan tahun baru bukanlah hanya dirasai di Malaysia bahkan satu dunia menyambut kedatangan tahun baru ini dan sambutannya seakan-akan sama setiap negara seperti percikan bunga api dan juga konsert-konsert oleh artis-artis terkenal.

Selaku rakyat Malaysia yang prihatin saling bertanya sesama sendiri adakah dengan hiburan sebegini anak muda terutamanya berubah menjadi baik atau semakin teruk ditelan hiburan yang melalaikan.

Setiap tahun kita melihat di tempat-tempat yang menjadi tumpuan anak muda kelihatan sebuah masyarakat yang hancur ditelan kemodenan seperti selari dengan pembangunan yang dikecapi. Berbondong-bondong anak muda dengan pakaian ala barat yang diagungkan, anak-anak Melayu seperti hilang kemalayuannya dengan cara penampilan yang sangat asing dengan budaya tempatan seperti kembali ke zaman nomad yang tidak berbaju terutamanya perempuan, rambut-rambut yang diwarnakan dan segala macam jenis sifat yang sukar digambarkan di akal kita berada di bumi Malaysia yang telah merdeka 50 tahun. Persoalannya adakah kemerdekaan yang dikecapi selama 50 tahun hanyalah dari segi kemerdekaan penjajahan kolonial dan tidak merdeka dari segi minda.

Sambutan tahun baru di Malaysia yang disambut satu malam untuk menyembut kehadiran erti setahun yang akan datang seakan-akan tidak bererti apabila masalah sosial semakin menjadi-jadi. Tanpa segan silu apabila percikan bunga api di udara mengagumkan penonton ada sebilangan anak muda Melayu yang berciuman seolah-olah kelihatan pesta sambutan tahun baru ini seperti di negara-negra barat bahkan lebih dari itu. Sambutan ini juga mencerminkan hilangnya nilai-nilai ketimuran yang didewakan oleh sesetengah pemimpin yang tidak turun melihat gelagat anak muda dewasa ini.

Tepat detik 12.00 malam tempat-tempat yang dikunjungi anak muda sudah tidak terkawal apabila lelaki dan perempuan berpelukan, menari bersama, berciuman, bahkan ada tempat yang menjadikan sambutan tahun baru sebuah pesta seks percuma. Selepas daripada detik percikan bunga api anak muda ada yang memperjudikan nyawa dengan merempit dan ada yang lebih dasyat lagi menunggu tarikh 1 Januari 2009 untuk berkelahi dan bergaduh sesama sendiri dan yang lebih menyedihkan bangsa Melayu sendiri yang melakukan perkara sedemikian. Jika kita masih meragui perkara ini, boleh sahaja kita melihat gelagat-gelagat ini terpampang di dada-dada akhbar dan paparan televisyen pada keesokan harinya.

Seharusnya semua pihak haruslah berganding bahu memikirkan masalah sosial yang menyelubingi anak muda Malaysia supaya mereka sedar erti sebuah tahun baru atau penghijrahan. Sememangnya anak muda yang berdarah panas kononnya mahukan hiburan, bekas Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Haji Md. Hashim Haji Yahaya menyatakan bahawa program hiburan dan seumpamanya yang boleh diadakan bagi menyerikan kedatangan tahun baru seperti dendangan nasyid serta puisi Islami yang dapat membangkitkan kesedaran terhadap tangggungjawab serta perasaan cinta akan negara. Langkah ini telah diambil oleh Masjid Syakirin KLCC dengan mengadakan nasyid dan juga puisi-puisi Islami dalam menyambut sambutan tahun baru tetapi kehadiran pengunjung yang datang tidak sehebat konsert-konsert hiburan yang melalaikan oleh artis-artis terkenal. Kita bukalah menuduh bahawa konsert sebegitu tidak bagus tetapi konsert-konsert sebegitu haruslah berorientasikan Islam agar kesedaran cinta akan tanah air, agama tersemai kukuh berlandaskan cara Islam dan bukannya bertuhan cara barat yang songsang.

Program-program kesyukuran sambutan tahun baru perlulah diperbanyakkan agar masyarakat dapat menginsafi diri dan juga mengkoreksi diri supaya menjadi insan dan masyarakat yang benar-benar bertamadun. Pihak kerajaan perlulah memainkan peranan dalam soal ini di bawah pengelolaan menteri berwajib supaya hiburan rantaian hidonosme dapat dijauhi dan majlis kesyukuran sambutan tahun baru diperhebatkan.

Bantuan-bantuan NGO juga perlu diperkuatkan dengan bantuan pihak berwajib seperti Jabatan Agama Islam Negeri.

Peranan yang terpenting perlu dimainkan adalah peranan ibu bapa. Ini kerana ramai yang hadir ke tempat-tempat sedemikian adalah remaja di bawah 18 tahun yang berada di bawah jagaan ibu bapa. Maka ibu bapa harus mengewasi tingkah laku anak supaya tidak tergelincir ke arah yang buruk.

Kehidupan yang dilalui perlulah bermatlamat jelas, semua pihak harus berganding bahu bersama-sama memperkukuhkan sambutan tahun baru ini dengan program dan majlis-majlis yang berfaedah yang bukannya berpaksikan hiburan semata-mata. Muhasabah diri perlulah menjadi teras program dan majlis yang disambut agar masyarakat mengerti sebuah kehidupan yang bermakna. Seluruh rakyat Malaysia haruslah menyemai nilai-nilai moral dan modal insan yang tinggi agar seluruh dunia memandang bahawa rakyat di Negara Malaysia adalah bertamadun tinggi dan perlu diteladani.

Motivasi Dr Shukri Abdullah - Bhg 2

Motivasi Dr Shukri Abdullah - Bhg 1

Wednesday, November 12, 2008

Hati yg sudah hitam tak kan baca posting ini

Siapakah orang yang sibuk? Orang yang sibuk adalah orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya seolah-olah ia mempunyai kerajaan seperti kerajaan Nabi Sulaiman a.s

Siapakah orang yang manis senyumanya? Orang yang mempunyai senyuman yang manis adalah orang yang ditimpa musibah lalu dia kata "Inna lillahi wainna illaihi rajiuun." Lalu sambil
berkata,"Ya Rabbi Aku redha dengan ketentuanMu ini", sambil mengukir senyuman.

Siapakah orang yang kaya? Orang yang kaya adalah orang yang bersyukur dengan apa yang ada dan tidak lupa akan kenikmatan dunia yang sementara ini.

Siapakah orang yang miskin? Orang yang miskin adalah orang tidak puas dengan nikmat yang ada sentiasa menumpuk-numpukkan harta.

Siapakah orang yang rugi? Orang yang rugi adalah orang yang sudah sampai usia pertengahan namun masih berat untuk melakukan ibadat dan amal-amal kebaikan.

Siapakah orang yang paling cantik? Orang yang paling cantik adalah orang yang mempunyai akhlak yang baik.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang paling luas? Orang yang mempunyai rumah yang paling luas adalah orang yang mati membawa amal-amal kebaikan di mana kuburnya akan di perluaskan saujana mata memandang.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang sempit lagi dihimpit? Orang yang mempunyai rumah yang sempit adalah orang yang mati tidak membawa amal-amal kebaikkan lalu kuburnya menghimpitnya.

Siapakah orang yang mempunyai akal? Orang yang mempunyai akal adalah orang-orang yang menghuni syurga kelak kerana telah mengunakan akal sewaktu di dunia untuk menghindari siksa neraka.

Siapakah org yg KEDEKUT? Orang yg kedekut ialah org yg membiar atau membuang posting ini begitu sahaja, malah dia tidak menyampaikan pula pada org lain.

TIPS MENGHADAPI PEPERIKSAAN

PENDAHULUAN

Peperiksaan penting seperti UPSR, PMR, SPM dan STPM memerlukan persedian lebih daripada sekadar membaca semata-mata.Tanpa persediaan yang rapi maka ramai pelajar yang mendapat keputusan yang tidak setimpal dengan usahanya. Anda tidak perlu takut dengan peperiksaan. Sebab sama ada anda bersedia atau tidak, masa untuk berhadapan dengannya tetap akan tiba. Oleh itu lebih baik anda fokuskan kepada persediaan anda untuk berjuang. Untuk cemerlang dalam peperiksaan pelajar perlu bersedia dari segala aspek, bukan setakat membaca dan mengulangkaji semata-mata. Persediaan yang rapi memupuk keyakinan yang tinggi untuk pelajar menghadapi peperiksaan mereka.

Artikel yang ditulis ini tidak mengajar subjek-subjek yang tertentu. Pelajar perlu merujuk kepada guru kelas masing-masing tentang keTEPATan dalam menjawab setiap soalan. Artikel di Laman-MAP ini bertujuan untuk memberikan gambaran yang jelas tentang persediaan-persedian seperti fizikal, mental, emosi dan ruhani. Harapan saya, ia akan membolehkan pelajar melangkah ke dewan peperiksaan dengan mengatakan ........

"AKU BOLEH BERJAYA". Melangkah dengan fikiran yang positif.


1. PERSEDIAAN FIZIKAL

KESIHATAN

Sebagai pelajar anda memerlukan kesihatan yang baik bermula dari ketika membuat persedian mengulangkaji hinggalah ke dewan peperiksaan. Keadaan kesihatan yang buruk akan mengganggu persediaan diri untuk peperiksaan. Sekiranya masih banyak yang anda perlu ulangkaji, maka pastinya anda rasa bimbang. Gangguan kesihatan pasti tidak mengizinkan anda mengulangkaji dan ini akan membawa kepada tekanan emosi. Pastikan anda menjaga perkara yang berikut:

Tidur yang cukup.

Tidur yang cukup ialah diantara 6 - 7 jam sehari. Kurang tidur menyebabkan anda rasa mengantuk, letih dan boleh jatuh sakit. Tidur yang berlebihan juga tidak baik untuk kesihatan. Jadi pastikan anda latih diri anda dengan masa tidur yang optimum ini dari sekarang.

Jaga pemakanan.

Allah s.w.t telah berfirman yang mafhumnya "Makanlah dari makanan yang baik yang telah Kami berikan" (Al-Baqarah : 57). Yang dimaksudkan
sebagai yang baik disini ialah baik dari segi sumbernya (halal), kualitinya (zat), rasanya (enak dan lazat) dan bersih (tidak membawa penyakit dan kemudaratan). Kepada ibu bapa pastikan anak-anak anda diberi makan makanan dari sumber yang halal. Makanan yang haram akan menghitamkan dan menggelapkan hati mereka.

Riadah.

Jangan beriadah sehingga meletihkan badan. Ramai pelajar yang bermain hingga penat dan akibatnya anda akan rasa mengantuk untuk mengulangkaji pelajaran. Anda hanya perlu beriadah selama 20 minit dan sebanyak tiga kali seminggu. Lakukanlah senaman ringan yang mengeluarkan sedikit peluh. Disaat-saat akhir sebegini, lupakanlah soal bolasepak, takraw, badminton dan sebagainya. Anda boleh tangguhkan semua aktiviti yanganda minati ini setelah tamat peperiksaan penting nanti.



KESELAMATAN

Anda perlu menjaga keselamatan diri anda sebaiknya. Jauhkan diri anda dari aktiviti lasak yang boleh membawa kepada kecelakaan. Elakkan diri dari sebarang kecederaan. Anda past tidak mahu mengambil peperiksaan sewaktu berad dalam wad di hospital. Memanglah kecelakaan tidak pernah diundang, tetapi kalau anda tidak berhati-hati anda sebenarnya mendedahkan diri kepada pelbagai kemungkinan. Dalam musimmenjelangnya peperiksaan, lebihkan masa anda untuk berada dirumah.


2.PERSEDIAAN MENTAL

Pelbagai Gambaran Negatif

Kerapkali masalah yang dihadapi oleh pelajar apabila hampir dengan peperiksaan ialah takutkan kegagalan. Walau pun anda telah berusaha bersungguh-sungguh namun perasaan takutkan kegagalan ini sering mengganggu fikiran. Antara keadaan yang menekan diri pelajar ialah:

a) Menyerah kalah sebelum berjuang

Ini disebabkan kerana mereka rasakan yang mereka tidak punya harapan lagi. Mereka rasakan buat apa belajar kalau dah tahu hasilnya nanti ialah kegagalan. Mereka percaya yang mereka akan gagal dalam peperiksaan berdasarkan kepada keputusan peperiksaan atau ujian-ujian sebelum ini. Mereka cuba membaca teta dengan keyakinan bahawa tidak mungkin mereka mampu memahami dan mengingati setiap fakta yang dibaca.

b) Merasa belum bersedia

Keadaan yang kedua pula berlaku kepada mereka yang sememangnya belajar. Mereka rasakan yang diri belum cukup bersedia. Mereka sentiasa fikirkan apa akan berlaku kalau segala usaha ini sia-sia? Apa akan terjadi kalau apa yang dibaca kelak lupa? Betapa malunya nanti kalau kawan-kawan yang kurang berusaha mendapat keputusan yang jauh lebih baik? Semua ini bermain difikiran.

c) Harapan ibu bapa yang terlalu tinggi

Tidak ada ibu bapa yang tidak mengharapkan kejayaan anak-anak. Ada ketikanya pula ibu bapa berulangkali menyatakan harapan mereka kepada anak-anak tanpa memikirkan kemampuan sebenar diri anak. Harapan yang terlalu tinggi ini ada ketikanya menjadi beban kepada anak-anak hinggakan mengganggu fikiran mereka. Kepada ibu bapa, saya sarankan agar dorong anak-anak berusaha gigih dan melakukan yang terbaik mengikut kemampuan masing-masing. Nyatakan dengan jelas bahawa apa yang anda mahukan ialah anak-anak melakukan yang terbaik dan sungguh-sungguh. Anda redha walau apa sekalipun keputusannya kelak. Ini akan mengurangkan tekanan atas diri anak-anak.

c) Berfikiran Positif

Bagi mengatasi segala tekanan mental seperti di atas anda perlulah berfikiran positif. Fokuskan mental anda kepada apa yang perlu anda lakukan dan apa pula hasil yang anda harapkan. Tidak perlu anda bimbang apa keputusan yang bakal diperolehi tetapi anda perlu bimbang kalau-kalau anda tidak menggunakan sisa-sisa masa yang masih ada untuk berusaha sepenuhnya.

Sekiranya anda memikirkan kegagalan maka anda hanya tergambar pelbagai rintangan dan halangan. Ini akan melemahkan semangat anda. Ia juga membuatkan anda meragu kebolehan diri anda.

Dalam berusaha anda mesti berpegang kepada kata-kata seperti:

"Sedikit pencapaian itu lebih baik dari tiada pencapaian langsung".

"Something is better than nothing"
Lakukan "Latihan Minda" setiap hari.

"If you can't see it, you can't have it".

Kata-kata di atas menunjukkan bahawa untuk mencapai sesuatu kejayaan itu maka gambaran kejayaan mestilah terlebih dahulu wujud dalam pemikiran. Sebelum anda mampu mendapat 8A dalam PMR, maka 8A itu mesti terlebih dahulu ada dalam pemikiran. Ia ibarat menghasilkan sebuah lukisan, anda tidak akan melakar sesuatu yang anda tidak gambarkan. Lakaran anda berasaskan kepada apa yang anda nampak dalam mata minda. Begitulah juga dengan kehidupan ini. Anda tidak akan menhasilkan sesuatu yang anda tidak gambarkan. Oleh itu, gambarkanlah kejayaan dan anda pasti akan terdorong untuk merealisasikan apa yang digambarkan itu. Makin jelas gambaran yang ada, makin tinggilah kesungguhan anda untuk merealisasikannya.

Untuk membantu anda menggambar dengan baik, anda perlu membuat latihan minda seperti dibawah.

1.Duduk dikerusi anda dengan selesa. Tangan diletakkan diatas peha. Badan tidak bersandar. Tenangkan fikiran dan kendurkan setiap otot, sendi, uratsaraf dan pejamkan mata anda.

2.Tarik nafas beberapa kali dalam-dalam. Tarik melalui hidung dan hembuskan melalui mulut. Ketika nafas ditarik, gambarkan yang anda menyedut keyakinan diri. Ketika nafas dibuang, gambarkan yang anda membuang segala ketakutan dan kebimbangan.

3.Saya percaya anda pernah capai kejayaan sebelum ini, sama ada kecil atau besar. Saya mahu anda kembali kepada peristiwa kejayaan itu. Kejayaan itu mungkin berkaitan dengan pelajaran, sukan, debat dan sebagainya. Pilih satu yang paling bermakna kepada anda. Dimana iaberlaku? Apa yang berlaku? Apa yang anda dapat lihat? Suara apa yang anda dengar? Kalau ada tepukat, dengar tepukan gemuruh ketika itu. Kalau ada puji-pujian dengarkan duara siapa yang memuji itu. Gambarkannya secara jelas mengikut kemampuan anda. Dengar suara yang ada dengan jelas. Rasakan apa perasaan anda ketika itu. Rasakan keseronokan anda pernah dipuji. Rasakan kebanggaan anda sebagai orang yang berjaya ketika itu. Hadirkan perasaan itu kembali.

4.Apabila perasaan yakin dan bangga mula memuncak, cubit sedikit kedua-dua peha anda dengan tangan. Biar terasa sedikit sakit. Buka mata anda, dan pejam kembali. Ulang langkah 2 - 4 beberapa kali.

5.Kini pejamkan mata, gambarkan anda melangkah masuk ke dewan peperiksaan. Gambarkan anda duduk dikerusi dan diatas meja tersedia kertas soalan. Rasakan ketenangan dalam dewan. Gambarkan kini anda membelek-belek kertas soalan dan anda dapati semua apa yang anda baca keluar. Rasakan kegembiraan itu. Gambarkan bagaimana anda menjawab setiap soalan satu persatu dengan penuh keyakinan. Ide keluar mencurah-curah. Gambarkan 8A dalam PMR (Gred 1 untuk SPM). Ketika ini sekali lagi cubit kedua-dua peha anda seperti yang telah anda lakukan dalam langkah 4 tadi.

6.Buka mata anda, ulangi langkah 5 beberapa kali.

7.Buatkan latihan minda ini 10 - 15 minit setiap hari. Sekiranya anda lakukan latihan ini sungguh-sungguh setiap hari, anda dapat mengawal perasaan takut anda ketika berada didewan peperiksaan dengan menarik nafas dan mencubit kedua-dua peha.

Kejayaan latihan minda di atas banyak bergantung kepada kesungguhan anda melatih diri, kekerapan latihan dan tumpuan anda.


3) PERSEDIAAN EMOSI

Dalam saat-saat menghadapi peperiksaan, anda perlu mengelak diri dari sebarang bentuk gangguan emosi. Perkara-perkara yang berikut perlu dielakkan:

Pertengkaran dengan rakan-rakan;

Melakukan perkara yang membuatkan ibu bapa marah;

Cinta monyet yang mungkin kecundang disaat-saat peperiksaan;
Bersikap terlalu yakin - "overconfident";
Berprasangka buruk terhadap orang lain;

Ramai pelajar bertindakbalas secara spontan terhadap sesuatu yang berlaku terhadap mereka. Tindakbalas spontan ini menjadi tabiat semulajadi mereka. Apa perasaan anda kalau raka membohongi anda? Anda mungkin serta-merta menjadi marah. Apa berlaku kalau rakan memulau dan mengejek anda? Anda mungkin rasa tersinggung dan kecil hati. Kalaulah begini tindakbalas spontan anda, apa akan berlaku dengan persediaan peperiksaan anda? Anda pasti tidak mampu memberikan tumpuan untuk mengulangkaji. Ada ketikanya luka dihati berkekalan berhari-hari.

Kenapa tidak selepas ini kawal emosi anda. Jangan izinkan sesiapa melukai hati anda. Mereka boleh berkata apa sahaja, mereka boleh berbohong dan sebagainya. Mereka ada suara, biarkanlah mereka. Anda cuma pekakkan telinga. Banyakkan bersikap sabar. Teruskan sahaja kerja anda. Kekalkan matlamat peperiksaan anda. Apabila anda berjaya satu hari nanti, rakan-rakan akan mula menghormati anda.

Sebenarnya peristiwa tidak mencetuskan sebarang emosi. Tanggapan atau paradigma andalah yang mencetuskan emosi. Kita boleh melihat setiap perkara yang berlaku terhadap diri kita dari dua perspektif, iaitu positif atau negatif. Mulai hari ini ambillah dari sudut yang positif. Ingatlah setiap apa yang berlaku adalah ujian Allah dan ada hikmah sekiranya anda bersabar. Dengan cara ini anda mampu membenteng emosi anda.


4) PERSEDIAAN ROHANI

Selain dari persediaan fizikal, mental dan emosi, persediaan rohani juga perlu. Anda perlu faham kedudukan kita sebagai hamba hanyalah mampu melakukan usaha sebaik mungkin tetapi hasil sebenarnya Allah lah yang menentukannya. Ketenangan jiwa dan fikiran sangat perlu disaat-saat menghadapi peperiksaan, oleh itu lakukanlah sesuatu untuk meraih ketenangan ini.

Antara perkara yang boleh anda lakukan ialah:

1.Sentiasa bermunajat kepada Allah. Lakukan solat hajat dan pohon agar Allah campakkan ketenangan dan terangkan hati dalam menghadapi peperiksaan. Minta pada Allah agar apa yang dipelajari keluar dalam peperiksaan.

2.Minta restu kedua ibu bapa. Doa ibu bapa untuk anakny sangat makbul. Jadi mintalah restu dari keduanya. Mintalah mereka mendoakan kejayaan anda.

3.Banyakkan berzikir dan membaca al-Quran. Hati yang banyak berzikir akan memperolehi ketenangan. Hati juga lebih terang apabila anda sering membaca al-quran. Alla telah berfirman dalam surah ar-Ra'ad, ayat 36, yang
mafhumnya "Sesungguhnya dengan mengingat Allah akan menjadi tenanglah semua hati".

4.Jauhi maksiat. Jauhi diri anda dari perbuatan maksiat dan dosa besar. Mereka yang bergelumang dengan maksiat mempunyai jiwa yang resah. Hidup juga tidak diberkati Allah.

5.Banyakkan berdoa. Pastikan anda berdoa mengikut adab-adab berdoa.

PERSEDIAAN MENGHADAPI PEPERIKSAAN

Assalaamualaikum...
Pagi tadi bangun awal terus bersiap untuk ke dewan Sekolah Menengah Teknik Manjung. Program SMK Manjung buat di dewan SMT Manjung. Ini dah tahun ke 3 bersama mereka. Alhamdulillah dapat tahu tahun lepas SMK Manjung punya result exam bagus sangat. SPM ada 2 orang dapat 10A tak pernah berlaku sebelum ni. Tahniah untuk adik2 abang semua. Semoga semuanya terus jadi hebat...
Lepas program petang tadi terus bertolak ke jeti Lumut nak ke Pangkor. Perjalanan lebih kurang 45 minit. Sampai Pangkor terus ke Coral Bay Hotel. Stay kat sana. Sekarang kat Coral bay ... malam ni nak share sikit tentang beberapa tips lagi bagi menghadapi peperiksaan.

MENGATASI PELBAGAI SOALAN DAN KEBIMBANGAN

Saya tidak tahu dimana patut bermula.

Jangan panik. Senaraikan semua perkara yang perlu anda lakukan. Agih-agihkan tugasan anda kepada bahagian yang lebih kecil dan mudah dilaksanakan. Tentukan keutamaan tugasan, yang utama didahulukan. Rancang masa untuk menyelesaikan setiap tugasan ini sebaik-baiknya. Jangan sesekali ponteng kelas ketika hampir dengan peperiksaan. Anda mungkin tertinggal ulangkaji dan tip-tip penting yang dibincangkan oleh guru atau pensyarah. Gunakan masa-masa rehat yang ada untuk mengimbas kembali apa yang telah dipelajari. Berikan masa bukan sahaja untuk belajar tetapi juga untuk merancang strategi pembelajaran anda. Jangan terburu-buru, mulakan belajar anda dengan topik yang senang dahulu. Mulakan 30 minit – 1 jam dahulu. Semakin lama, terutamanya apabila semakin hampir dengan peperiksaan, tingkatkan waktu belajar anda.


Terlalu banyak untuk dibaca sedangkan peperiksaan semakin hampir.

Buat tinjauan. Berikan masa untuk anda membuat tinjauan keseluruhan topik. Kenalpasti topik-topik penting. Fahami konsep-konsep penting. Pastikan topik yang anda maih belum faham. Mulakan belajar topik yang penting-penting dahulu. Mana-mana topik yang kurang penting, dan tidak sempat diulangkaji sepenuhnya, fokus hanya kepada fakta-fakta utama. Tetapi ingat, tinjauan hanya boleh membantu sekiranya anda benar-benar sudah tidak punya masa. Kalau anda masih sempat membacanya, maka bacalah dengan terperinci.

Subjek ini cukup membosankan. Anda rasa jemu dan mengantuk apabila membacanya.

Belajar secara aktif bukannya pasif. Gunakan kaedah membaca yang berkesan. Dapatkan soalan-soalan berkaitan dengan topik yang dipelajari sebelum memulakan ulangkaji. Pelbagaikan aktiviti ketika belajar. Selang-selikan diantara aktiviti membaca dengan menulis nota, melakar peta minda (atau peta konsep), menghafal, menggaris kata kunci dan menjawab soalan-soalan. Libatkan diri anda sebanyak mungkin dengan apa yang sedang dibaca. Tukarkan apa yang dibaca kepada gambaran minda. Belajar bersama rakan yang lebih arif tentang subjek tersebut dan bincangkan.


Anda baca dan anda faham, tetapi anda tidak mampu mengingatinya.

Cuba kaitkan apa yang sedang anda pelajari dengan apa yang telah aanda ketahui. Gunakan beberapa pendekatan untuk mengingat seperti:

Hafal kata kunci, bukannya hafal ayat.
Gunakan Teknik Ceraian.
Gunakan Teknik Mnemonik.
Tuliskan fakta-fakta penting pada kad dan bawanya bersama anda kemana sahaja. Kerapkan buat imbasan terhadap kad- kad ini.


Anda rasa anda faham apa yang dibaca. Anda rasa anda telah mengingatinya.

Jangan cepat merasa puas hati dengan apa yang anda usahakan. Uji ingatan dan pengetahuan anda. Jawab soalan-soalan dari buku atau dari peperiksaan tahun-tahun sebelumnya. Bina soalan-soalan berdasarkan tujuh soalan asas iaitu Apa? Siapa? Bila? Dimana? Berapa? Kenapa? Bagaimana? Misalnya, kalau anda sedang membaca sejarah Melaka diserang Portugis, tanyakan soalan-soalan seperti:

Bila Melaka diserang?
Kenapa Melaka diserang?
Siapa yang menyerang?
Bagaimana Melaka diserang?

Terlalu banyak untuk dihafal dan diingat.

Penyusunan maklumat. Maklumat dan fakta-fakta dapat dikeluarkan dengan lebih baik sekiranya ia dibaca, dihafal dan disimpan dalam bentuk yang sistematik. Terdapat pelbagai pendekatan yang boleh anda guna untuk menyusun maklumat atau fakta ini, antaranya ialah:

1. Tuliskan rangka setiap bab yang dibaca atau ringkasan tentangnya. Perhatikan perkaitan antara satu bahagian dengan bahagian yang lain dalam tajuk tersebut.
2.
Cuba kumpulkan maklumat kepada beberapa kategori berdasarkan persamaan yang ada.
3.
Cuba bahagikan kepada hieraki (sekiranya ini boleh dilakukan).
4.
Pemetaan maklumat. Cuba lakarkan peta konsep bagi menyusun bahan-bahan yang ada perkaitan. Misalnya kalau anda sedang membaca sejarah tentang perang dunia kedua, anda mungkin boleh buatkan satu carta tentang semua negara yang terlibat. Kemudian senarai isu penting atau peristiwa penting disebelah carta tersebut. Anda mungkin kaitkan kembali isu/perkara penting ini dengan negara-negara tersebut berdasarkan kepentingan dan kesan ke atas mereka

Tadi anda masih ingat tetapi kenapa kini anda lupa?

Sering buat imbasan. Kajian menunjukkan bahawa sebagai manusia normal anda akan lupa 80% apa yang telah dibaca hanya dalam masa 24 jam. Oleh itu anda perlu merancang satu strategi agar anda mampu mengatasi kelemahan ini.

Pastikan setiap apa yang anda baca telah diringkaskan. Jadikan fakta seringkas mungkin dengan syarat apabila anda melihat fakta tersebut anda mampu menceritakan semula apa yang mahu disampaikan olehnya. Ada ketikanya fakta yang panjang sekalipun mampu anda ringkaskan menjadi dua atau tiga patah perkataan. Selepas 24 jam, cuba lihat nota ringkas anda ini. Cuba ceritakan semula apa yang anda fahami. Sekiranya anda mampu menceritakannya, bermakna anda sudah mampu memanggil semula maklumat tersebut. Sekiranya tidak, semak semula sekali imbas teks asal. Berikan masa menjawab soalan-soalan berkaitan dengannya bagi mengukuhkan lagi ingatan anda. Semak semula apa yang dibaca dari semasa ke semasa. Dengan cara ini anda tidak perlu bersusah payah membaca teks asal kembali sewaktu hampir dengan peperiksaan.


Anda suka belajar disaat-saat akhir.

Ramai pelajar yang berpendapat lebih baik belajar disaat-saat akhir, sebab kalau belajar awal pun nanti lupa juga. Pendapat di atas adalah tidak benar. Anda perlu belajar seawal mungkin bagi mengenal pasti kelemahan dalam sesuatu bab. Dengan belajar awal juga anda punya banyak masa untuk bertanya pada guru dan rakan-rakan. Salah satu rahsia belajar ialah kekerapan. Lagi kerap sesuatu bahan itu diulangbaca maka lagi besar potensi untuk anda memahami dan mengingatinya. Oleh itu, mulakan langkah anda sekarang. Mulakan sedikit dahulu. Mulakan dengan yang mudah-mudah dahulu dan apabila minat dan semangat mula berputik, barulah lakukan dengan lebih bersungguh-sungguh.



BELAJAR UNTUK PEPERIKSAAN


Ramai pelajar yang rajin belajar tetapi tidak memperolehi keputusan yang setimpal dengan usaha mereka. Keadaan ini berlaku disebabkan mereka tidak belajar dengan pendekatan untuk cemerlang dalam peperiksaan. Mereka tidak merancang jadual belajar dan masa mereka dengan betul. Artikel ini akan membincangkan apa yang perlu anda lakukan mulai sekarang
hinggalah ke dewan peperiksaan bagi memastikan anda lakuka yang terbaik.

Bersedia untuk belajar

Peperiksaan semakin hampir. Anda perlu melakukan persediaan bagi memastikan anda mampu melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lenih tinggi sama ada di kolej ataupun universiti.

Sekiranya anda memang telah belajar dari awal, pastinya tidak banyak yang perlu dirisaukan. Tetapi bagaimana pula sekiranya anda baru mahu bersungguh-sungguh mengulangkaji. Lebih-lebih lagi sekiranya anda bakal menduduki SPM. Kepada pelajar SPM saya nasihatkan agar memberikan tumpuan kepada matapelajaran penting. Iaitu matapelajaran yang membawa anda ke menara gading. Matapelajaran ini ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan dua matapelajaran elektif (Fizik, Kimia, Biologi, Prinsip Akaun, Ekonomi, Sains Tambahan, Matematik Tambahan, Kejuruteraan). Sekiranya anda mendapat markah yang baik dalam kelompok mata pelajaran ini maka peluang anda untuk ke universiti adalah cerah.

Namun begitu, sekiranya anda mampu, hendaklah anda dapatkan markah yang terbaik bagi semua mata pelajaran. Sebab persaingan ke universiti kini semakin sengit. Mereka yang berjaya biasanya memiliki pencapaian yang baik dalam semua mata pelajaran.


Buatkan jadual belajar untuk peperiksaan

Jangan panik. Itu adalah pesan saya yang paling utama. Walaupun anda rasakan banyak yang perlu difahami dan diingati, jangan sekali-kali anda panik. Sekiranya anda panik, anda akan mengundang lebih banyak masalah berbanding penyelesaian. Tidak ada masalah tanya penyelesaian.

Mula menyemak semua buku-buku yang ada termasuk nota sekolah, buku teks, buku rujukan, soalan-soalan ramalan dan soalan-soalan tahun lepas. Pastikan semuanya lengkap dan dalam keadaan baik.

Langkah pertama kenal pasti bab-bab yang susah dan belum anda kuasai untuk semua mata pelajaran. Senaraikan bab-bab ini. Senaraikan juga bab-bab yang telah anda kuasai dengan baik.

Langkah kedua buatkan analisa soalan-soalan sejak 5 tahun yang lepas. Lihat bab-bab yang sering keluar soalan darinya. Bab-bab ini merupakan bab-bab penting yang tidak boleh tidak mesti anda kuasai dengan baik.

Buatkan jadual perancangan belajar anda. Agihkan tajuk-tajuk dari sekarang hinggalah seminggu sebelum peperiksaan. Jangan diganggu minggu terakhir sebelum peperiksaan sebab minggu terakhir ini adalah untuk anda lakukan semakan terakhir nanti. Mana-mana bab yang penting, mulakan ulangkajinya dahulu. Lagi awal anda mengulangkaji bab-bab ini lagi cepat anda mengenalpasti dan seterusnya mengatasi setiap masalah. Sekiranya anda terpaksa menghabiskan 4 bab seminggu maka habiskanlah. Anda mungkin terpaksa belajar 5 - 8 jam sehari untuk mengulangkaji semua matapelajaran. Oleh itu anda perlu berkorban demi masa depan. Anda mungkin belajar 1 jam di waktu pagi, 2 jam pada tengahari, 1 jam diwaktu petang dan 3 jam diwaktu malam. Ini menjadikan masa belajar anda 7 jam sehari.


Mengingati Tajuk

Ramai pelajar tidak menyedari hakikat penting ini. Kalau anda mampu mengingati apa tajuk-tajuk yang terkandung dalam sesuatu matapelajaran maka anda mempunyai gambaran yang jelas tentang apa yang anda pelajari.


Buatkan Nota

Anda hanya perlu mempelajari sekali sahaja setiap tajuk. Pastikan dengan usaha yang sekali ini anda mampu memahaminya. Ramai pelajar yang mengulang baca sesuatu tajuk beberapa kali dan kemudiannya lupa. Cara belajar begini bukan sahaja menjemukan malah merugikan masa anda, sedangkan peperiksaan semakin hampir.

Setelah anda memahami apa yang dibaca, buatkanlah nota-nota ringkas. Yang terbaik ialah anda ringkaskannya mengikut apa yang anda fahami. Bandingkan nota anda dengan teks asal bagi memastikan fahaman anda betul dan tidak ada fakta penting yang tertinggal.

Ringkaskan setiap fakta menjadi lebih pendek bagi memudahkan anda mengingatinya. Kenalpasti kata kunci dalam setiap fakta. Buatkan senarai kata kunci dan hafal. Lakarkan peta minda atau peta konsep berdasarkan tajuk-tajuk dan kata kunci yang ada. Pastikan apabila anda mengingati kata kunci, maka anda mampu mengingati keseluruhan fakta yang berkaitan dengannya.

Latih diri anda untuk peperiksaan

Anda perlu melatih diri anda untuk peperiksaan. Tanpa latihan anda tidak mungkin dapat memberikan hasil yang terbaik. Minda anda juga seperti otot-otot fizikal anda yang lain. Ia perlu dilatih secara intensif bagi mencapai sesuatu hajat. Mereka yang mahu cemerlang dalam 'bowling' perlu melakukan latihan berterusan bagi meningkatkan kemahiran ber'bowling'. Begitu juga dengan peperiksaan. Anda perlu melatih diri anda bagi tujuan cemerlang dalam peperiksaan.


Syarat-syarat latihan peperiksaan ialah:

1.Latih mengeluarkan maklumat dengan banyak, cepat dan tepat.
2.Latih dalam tempoh masa yang tertentu.
3.Anggapkan setiap latihan seperti peperiksaan sebenar.
4.Latih menjawab mengikut strategi menjawab soalan yang
berkesan.


1. Latih mengeluarkan maklumat

Maklumat yang dibaca mestilah mampu dikeluarkan semula. Oleh itu anda perlu sentiasa melatih diri anda untuk mengeluarkan maklumat yang telah dipelajari. Perbanyakkan latihan-latihan seperti:

Menjawab soalan-soalan;
Menceritakan semula apa yang telah dipelajari;
Melakarkan kembali dalam bentuk peta konsep / minda;
Mengadakan perbincangan dengan rakan;
Menyediakan kad imbasan kecil.
Menggambarcarakan apa yang telah dipelajari.
Sekiranya anda pelajar SPM atau STPM, cuba hasilkan model jawapan soalan esei berdasarkan soalan-soalan yang ada. Cuba pecahkan fakta-fakta penting dalam bentuk peta minda/konsep. Ini memudahkan anda mengingati isi-isinya dalam peperiksaan sebenar kelak.


2. Hadkan masa menjawab

Pastikan anda menjawab dalam had masa yang ditetapkan. Peperiksaan bukan sahaja memerlukan anda mengetahui banyak fakta, tetapi anda perlu mengeluarkan fakta-fakta yang berkaitan dalam masa yang telah ditetapkan. Oleh itu anda perlu pantas dan kepantasan hanya boleh dibina melalui latihan yang berterusan.

Oleh itu anda perlu kerap menjalankan latihan ujian. Iaitu menjawab soalan-soalan dalam had masa seperti dalam peperiksaan.


3. Anggap seperti peperiksaan sebenar

Pastikan anda bebas dari gangguan, tidak melengahkan masa, tumpuan yang tinggi dan rasakan seolah-olah tekanan peperiksaan yang sebenar. Elakkan dari meniru sepanjang menjalani latihan ujian. Gunakan strategi menjawab soalan (lihat di bawah). Ingat masa berjalan, oleh itu jangan sekali-kali biarkan fikiran anda melayang. Sekiranya soalan itu susah, maka berikanlah jawapan yang terbaik. Anda perlu belajar mengenali gerak hati anda sebab anda memerlukannya dalam peperiksaan yang sebenar nanti.


4. Strategi menjawab soalan

Untuk mendapatkan markah yang tinggi dan mengelak dari berlakunya kecuaian, anda memerlukan strategi menjawab soalan yang berkesan.

Langkah-langkah berikut dapat membantu:

1.Baca arahan terlebih dahulu.
2.Baca arahan terlebih dahulu.
3.Kenal pasti dan garis kata kunci kepada soalan.
4.Jawab soalan mengikut turutan berikut:

Jawab soalan BONUS - Iaitu soalan yang anda pasti jawapannya betul. Ia mungkin soalan yang telah anda ramal, atau yang pernah anda latih sebelumnya.

Jawab soalan yang senang - Iaitu soalan yang mampu anda jawab hanya dengan satu kali cubaan.

Jawab soalan-soalan yang susah - iaitu soalan yang memerlukan masa yang panjang atau soalan yang anda memang tidak tahu jawapannya.

Semak - Pastikan semua soalan dijawab; Untuk soalan objektif, pastikan tandanya betul.

Ulang jawab - Kalau masih ada masa, ulang jawab soalan bonus dan senang. Ingat! soalan inilah yang anda pasti lakukan kecuaian oleh itu semak dengan tujuan mencari kesilapan tersebut. Bukannya menyemak dengan tujuan berpuashati dengan jawapan. Langkah terakhir barulah ulang jawab soalan-soalan susah. Itu pun sekiranya masa masih mengizinkan.


Mencari sebab (post-mortem)

Anda perlu menkaji kelemahan diri anda setiap kali selesai menjawab soalan-soalan. Setelah anda selesai membuat latiha ujian. Semak setiap jawapan yang dibuat. Sekiranya jawapan anda salah maka lakukan 'post-mortem', iaitu proses mencari sebab. Setiap kesilapan ada sebab-sebabnya dan ini merupakan masalah utama yang perlu anda atasi. Antara sebab-sebab kesalahan berlaku ialah:

Tidak tahu (tidak baca) - Ini bermakna persediaan diri anda kurang. Maka berikan masa membaca tajuk-tajuk tersebut.

Tidak faham - Anda baca tetapi tidak faham. Tanyakan padaguru atau rakan.
Lupa - Ini disebabkan anda kurang mengulangi apa yang telah dipelajari.
Cuai - Pastikan anda mengikuti langkah-langkah dalam Strategi Menjawab Soalan di atas.
Keliru - Tanyakan pada guru tentang bentuk soalan yang mengelirukan anda. Minta penjelasan dari guru sebelum hari peperiksaan agar kesilapan yang sama tidak diulangi.

Jangan buang masa

Dalam suasana peperiksaan semakin hampir anda perlu gunakan setiap masa yang terluang untuk mengulangkaji. Sekirannya masa yang terluang tidak sesuai untuk anda membaca dan menghafal, maka gunakan masa tersebut untuk anda melatih mengeluarkan maklumat. Ceritakan apa yang telah anda pelajari kepada diri anda sendiri. Lakarkan apa yang anda ketahui pada sehelai kertas. Aktiviti sebegini mengukuhkan lagi ingatan anda dan memudahkan pengaliran keluar maklumat ketika dalam peperiksaan kelak.

Bagi mengelakkan rasa jemu belajar, pelbagaikan aktiviti dalam satu-satu sessi mengulangkaji.


Raja Shamri -

Pakar Motivasi

http://abangraja.blogspot.com

BAGAIMANA MENGATASI SIFAT MALAS; The different between WINNERS and LOSERS!

Assalaamualaikum...

Menjawab pertanyaan Syarafi dari teknik Kuantan dalam shoutbox di blog saya hari ni tentang isu macam mana nak atasi rasa malas tu sebenarnya bukan sedikit yang alami benda ni. Bukan juga di Malaysia malah diseluruh dunia.. bukan juga pelajar malah juga orang yang dah bekerja, bos mahupun kuli, si alim mahupun si jahil, si baik mahupun si jahat, isteri atau suami, malah orang tua atau budak2 juga alami benda ni. Namun ulamak banyak membincangkan tentang antara cara2 untuk mengatasi rasa malas ini. Kajian oleh pakar psikologi juga banyak tentang isu malas ni.

Kesimpulannya malas ni adalah penyakit jiwa atau penyakit hati yang berkait rapat dengan beberapa faktor merangkumi genetik, biologi dan kesihatan, faktor pemakanan, sistem hidup dan pendidikan, persekitaran, cuaca dan suhu dan macam2 lagi. Kajian yang saya sendiri buat bersama pakar UM pada tahun 2003 menunjukkan sifat malas ini sendiri berkait rapat juga dengan amalan kerohanian dan keimanan serta takwa kepada Allah. Untuk mengatasi rasa malas ini pertamanya kita kena paham tidak semua rasa malas itu tidak bagus. Kadang2 kita sendiri tetiba jadi malas untuk lakukan sesuatu.

Rasa malas itu kadang2 juga pertolongan dari Allah untuk mengelakkan kita dari melakukan sesuatu yang boleh membawa bencana kepada diri. Namun malas yang berpanjangan dalam hal-hal kebaikan adalah sesuatu yang tidak diinginkan kerana itulah bezanya antara the winners and the losers. Untuk mula mengatasi malas dalam kes yang sebegini saya ambil beberapa tips dari tulisan para ulamak, hasil kajian saya dan juga melalui pembacaaan yang saya lakukan sendiri.


1. Ambil Wudhuk

Wudhuk atau air sembahyang didapati antara cara berkesan untuk menghilangkan rasa malas. Kajian juga menunjukkan orang yang selalu lekat air sembahyang akan lebih sihat serta gembira iaitu menggambarkan kesimbangan psikologi (psychological balance) dan juga biologi. Namun dalam keadaan dunia hari ni yang begitu bebas sosialnya serta makanan yang pelbagai resipe adalah sukar untuk kita menjaga air sembahyang ni. Tapi ianya tidak mustahil.

Dalam kajian saya dulu kami mendapati sebilangan besar pelajar fakulti pengajian islam UM yang jaga wudhuk memperolehi keputusan peperiksaan yang begitu cemerlang serta juga aktif dalam kerja2 kebajikan mencerminkan kurangnya sifat malas dalam diri mereka untuk berbuat sesuatu kebaikan. Wudhuk atau sembahyang memberikan seseorang individu itu satu kesegaran. Malah dikatakan juga malas berpunca dari mandi junub yang tidak sah. Ramai yang sering tidak mengambil kisah soal mandi junub ini malah mungkin ada yang tidak mandi langsung. Mandi wajib atau mandi junub ini menjadikan seseorang individu itu suci seterusnya membolehkan sepenuhnya kerahmatan dan hidayah Allah mendampingi kita. Sewaktu nabi di israk mikrajpun antara perempuan yang dilihat disiksa adalah prempuan yang keluar rumah dalam keadaan tidak suci.


2. Muzik dan bunyian

Cara seterusnya sedikit memberikan kontroversi terutama bagi mereka yang tidak bersetuju dengan penggunaan muzik dan bunyian untuk mengatasi rasa malas. Namun mengikut kajian, muzik mampu mengubah mood. Drama swasta atau movie kalau takde background sound rasanya tidaklah sebest yang kita tengok. Cerita jangan pandang belakang tidaklah se takut yang kita tengok kalau takde background muzik. So, pemilihan muzik yang tepat, contohnya lagu2 yang memberangsangkan kita, lagu2 yang kita suka, boleh memberikan kita satu anjakan untuk mengatasi rasa malas ini. Ada yang suka muzik2 tanpa lirik seperti richard clyderman, kitaro, enigma dsbg. Saya sendiri pada waktu2 tertentu menggunakan muzik2 ini untuk memberikan anjakan dalam mood kerja. Walau apapun di dapati kesan dari bantuan bunyi ini samada muzik, ayat quran, radio atau sebagainya mampu membantu rasa malas.

Sejauh mana ianya dapat membantu terpulang kepada kita sendiri untuk melihat kesannya. Ada yang terleka dengan muzik dan bunyian ini bukannya membantu mengatasi malas tetapi jadi lagi malas. Maka muzik atau bunyian tersebut pastinya tidak relevan... kena cari bunyian, atau muzik lain. Mungkin bukan muzik tetapi bunyi suara orang berceramah berupa kaset atau CD yang dipasang setiap kali rasa malas. Ada juga yang perlukan video tentang kemiskinan di Iraq, kekejaman di Palestine dan Ambon untuk dijadikan cara mengatasi rasa malas. Apa2pun terpulanglah kepada anda semua ya... Saya tengah siapkan podcasting untuk dimuatkan di website saya untuk mereka yang memerlukan. Anda boleh download ke ipod bila dah siap nanti... boleh tengok kerana insyaAllah dia boleh inspires kita semua...


3. Solat

Solat adalah antara perkara yang sering kita lupa dalam membincangkan permasalahan kita seharian. Dalam seharian kehidupan kita... macam2 masalah kita hadapi tetapi cara penyelesaiannya seringkali bukan solat yang jadi pilihan utama. Solat adalah merupakan penyelesai segala masalah. Dalam solat itulah kita sujud memohon pertolongan Allah. Kita merendahkan diri, kita memohon ampun dan kita redha... kita berserah dan pasrah... kita memohon petunjuk ... kita mengadu.. kita menangis ... merayu kepada yang PENCIPTA. Disitulah penyelesaian yang utama termasuk dalam mengatasi rasa malas. Masalahnya nak solatpun malas ... huhuhu... macam mana ni..? heheeheh...

Kita kenalah ajar benda ni. Asal malas je terus ambil wudhuk dan solat.. asal ada masalah je terus ambil wuhuk dan solat... lepas tu baru fikir what to do next ... insyaAllah... dengan mengadu dan memohon dari Allah maka petunjuk akan datang... rasa malas atau apa sahaja masalah dapat diselesaikan. Untuk membolehkan kita solat dan tidak malas .. ianya berkait rapat dengan banyak faktor antaranya di ceritakan seterusnya dalam langkah yang berikut.


4. Pastikan anda dikelilingi orang yang positif

Bila anda dikelilingi orang yang positif, orang yang suka solat dan sebagainya maka anda juga pasti akan jadi positif dan seperti mereka juga. Bila anda jauh dari orang2 yang begini maka jiwa anda akan jadi kosong dari roh hidayah dan kekuatan spiritual yang genuine. Sebab itulah anda jadi malas nak belajar, nak kerja dan malas nak buat apa saje benda baik. Perhatikan... benda tak baik rajin pulak nak buat .. kerana apa? Kerana anda jauh dari kebaikan. So... bentuklah satu persekitaran agar anda sentiasa dekat dengan orang2 yang positif seperti orang yg cintakan ilmu, orang yang cakap benda elok2 (lidah mereka bukannya selalu mencarut), orang yang jaga solat, orang yang baik dengan parents dsbg.

Bila anda rapatkan diri dengan mereka maka roh hidayah itu akan juga kena tempias pada anda dan anda juga akan jadi rajin seperti mereka. Daya tahan diri anda melawan nafsu jahat, melawan sifat malas dan apa saje sifat negative akan jadi lebih kuat seterusnya tanpa anda sedar anda telahpun menjadi seorang insan yang hebat... anda telah berjaya mengatasi rasa malas anda !! Saya masih ingat sewaktu belajar di Universiti dulu, sewaktu group assignment tiada sesiapapun yang hendak ambil saya masuk jadi group assignment member mereka. Maklumlah, saya ni pakai long sleeve everyday ber tali leher everyday jugak. Apa lagi... kena kutuklaa habis2san dengan classmate.

Dalam kelas pulak saya selalu duduk depan ... Apa lagi saya jadi mangsa kutukan ramai classmates. Saya pakai long sleeve bertali leher sebab memudahkan urusan saya untuk keluar masuk pejabat HEP dan juga bilik naib chanselor. Sebagai pemimpin pelajar urusan di pejabat pentadbiran memang banyak. Saya pulak berkaki palsu so sukar untuk berjalan ulang alik ke bilik asrama tukar baju untuk ke bangunan pentadbiran. Maka akhirnya jadi satu kebiasaan saya berpakaian dan behave macam tu kat kelas dan menjadikan ramai classmate tak nak kawan sebab mereka lihat saya seperti bukan dari group mereka.

Saya dicop barua HEP dsbg. Namun dalam ramai2 yang mengutuk ada juga yang masih nak berkawan dengan saya walaupun mereka juga tak mampu nak tarik saya jadi group members assignment kami sebab ada ahli lain yang menentang. It's ok... (Thanks to Zaki Zaidee Laiden, Shahir Ahmad dll.) Bila tiba time presentation, semua group diberi masa 30 minit. Setiap group ada 6 orang so 5 minit sorang. Bila tiba giliran saya, oleh kerana saya sorang je takde group maka saya present sorang je lah... sepatutnya 30 minit je saya present sorang.. entah kenapa ramai sangat yang nak kenakan saya mereka tanya macam2 soalan nak kenakan saya. I am well prepared ... :)

Maka presentation 30 minit jadi 1 jam lebih... Infact, I manage to get A+ for that subject and 4.00 flat for that semester... Apa yang saya nak bagi tahu ialah bagaimana kekuatan mental yang saya perolehi itu datang... bagaimana saya mampu mengatasi rasa malas disaat saya down sebab orang buat macam2 kat saya... sebenarnya ialah kerana saya selalu didampingi oleh orang2 yang positif. Ketua pusat islam .. Ustaz Ridzwan kalau tak silap yang juga adalah setiausaha ABIM Malaysia masa tu adalah mentor saya .. sampaikan makan malam, sarapan pagipun selalu dengan dia... En. Saiun Sabtu sekarang ni pegawai khas timbalan Naib Chanselor juga naik motor dengan saya hampir setiap hari masa kat universiti.... Abang Hamid.. despatch kat fakulti .. orang miskin ada anak ramai tetapi dekat dengan Tuhan.. sentiasa jaga solat... adalah tempat saya mengadu bila ada masalah... orang2 yang positif ini adalah sumber bagaimana seseorang individu itu boleh mengatasi rasa malas mereka ...

Sekarang bila dah bekerja saya dikelilingi oleh ramai orang2 yang hebat2. Saya call mereka ataupun jumpa mereka walaupun saya penat setiap kali saya ke KL atau lalu di kawasan mereka. Saya singgah umah mereka, dekati keluarga mereka, saya berkawan dengan hati yan tulus ikhlas dengan mereka...Ianya sekadar memberikan kita motivasi, membentuk minda yang positif, rasa bangga dengan kejayaan orang lain dan berusaha memajukan diri, rasa kurangnya usaha kita jauhnya kita dengan Tuhan, rasa tak bersedianya kita nak mati, rasa perlunya kita sambung dan sambung belajar.. kita akhirnya TAK JADI MALAS. SENTIASA RAJIN...

Thanks to Latfy (The IT Genius - bespoke technologies)
Thanks to Che Din (Petronas Engineer Paka)
Thanks to Judin (Petronas Engineer Paka)
Thanks to Azhar Satar (HOD Enviromental Petronas Engineer Melaka)
Thanks to Padil (Non Destructive Testing Specialist)
Thanks to Mat bie / Hamzavi (Jutawan MAAKL JB)T
Thanks to Mat Jue (Jutawan IT Crystal Timur KB)

Thanks to my Father (Vision Scientist acting Rubber Tapper specialist)
Thanks to my mom (Domectic Engineer and Informal Education Specialist)
Thanks to..Thanks to...Many more .. tak tertulis banyak sangat...
Thanks to everybody yang selalu inspires me to achieve more .. to demolish SIFAT MALAS!!

-bersambung-



YM RAJA SHAMRI RAJA HUSIN
- Pakar Motivasi
http://abangraja.blogspot.com

Motivasi Siri 3

Motivasi Siri 2

Motivasi Siri 1