Sunday, January 4, 2009

PENGHIJRAHAN MINDA DAN TASAWUR

Oleh: Hasnan bin Kasan

Panel Penulis JAKIM

Hijrah berasal daripada perkataan bahasa Arab yang membawa maksud meninggalkan satu tempat untuk menuju ke tempat lain. Ada di kalangan ahli bahasa yang memberi erti hijrah adalah merangkumi hijrah jasmani dan hijrah rohani. Maksud hijrah jasmani ialah meninggalkan satu-satu tempat. Manakala hijrah rohani pula ialah meninggalkan satu-satu sikap, kepercayaan, akidah, emosi dan tasawur serta menggantikannya dengan yang lain.

Hijrah amat terkenal di kalangan umat Islam kerana ia berkait rapat dengan peristiwa perpindahan Rasulullah s.a.w daripada Mekah ke Madinah dan juga merupakan tarikh permulaan pengiraan tahun Islam. Hijrah lahiriah atau perpindahan badan dari satu tempat ke satu tempat atau dari satu negeri ke negeri yang lain merupakan sesuatu yang mudah dilakukan oleh manusia. Sememangnya manusia kerap berhijrah dari satu tempat ke satu tempat yang lain dengan tujuan yang tertentu. Saidina Jaafar ibn Abi Talib dengan rombongannya telah berhijrah ke Habsyah untuk menyelamatkan diri dari tekanan pihak musyrikin Quraisy yang begitu dahsyat. Ramai para sahabat r.a selepas itu telah berhijrah ke Madinah untuk menyelamatkan akidah mereka dari diancam oleh musyrikin Mekah.

Di negara kita, ramai penduduk kampung telah berhijrah ke bandar. Tidak kurang juga yang berhijrah dari bandar ke bandar dengan tujuan untuk menambah pendapatan atau mencari keselesaan melalui pelbagai cara dan bidang mengikut kebolehan dan kelayakan masing-masing. Di peringkat yang lebih rendah lagi, haiwan dan binatang juga melakukan hijrah dari satu tempat ke satu tempat terutama di kawasan gurun atau tanah lapang yang luas semata-mata untuk mendapatkan makanan dan perlindungan akibat daripada perubahan musim dan cuaca.

Jika diteliti maka sudah pasti terdapat perbezaan yang amat jelas antara hijrah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda dengan hijrah yang dilakukan oleh manusia zaman sekarang iaitu yang tinggal di kampung menuju ke bandar. Hijrah Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.a adalah bertujuan menyelamatkan agama dan akidah, mencari jalan bagi melicinkan usaha memantapkan penghayatan agama dan merupakan usaha mengembangkan risalah Islam kepada seluruh manusia sekalipun mereka terpaksa menanggung kerugian duniawi. Abu Bakar dan Abdul Rahman bin Auf r.a telah meninggalkan semua harta mereka di Mekah untuk berhijrah ke Madinah setelah kaum muysrikin Mekah menghalang mereka membawa bersama-sama harta mereka. Manakala hijrah atau perpindahan manusia zaman kini dari kampung ke bandar adalah bertujuan mencari rezeki dan keselesaan hidup. Namun, kedua-dua bentuk hijrah dan perpindahan tersebut tetap mendapat ganjaran dari Allah s.w.t selagimana ia dilakukan kerana-Nya.

Intipati peristiwa hijrah baginda Rasulullah s.a.w dari Mekah ke Madinah bukan sahaja tertumpu kepada perpindahan jasadiah yang dapat disaksikan oleh mata, akan tetapi tujuannya yang lebih penting ialah untuk membimbing dan mendidik para sahabat r.a yang baru sahaja memeluk agama Islam ke arah kesempurnaan penghayatan Islam sedikit demi sedikit. Pendek kata, falsafah penghijrahan Rasulullah s.a.w dari Mekah ke Madinah adalah untuk memastikan perpindahan keyakinan, tasawur, akhlak dan sikap para sahabat r.a dari pengaruh jahiliyah kepada pengaruh wahyu dan fitrah, dapat berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan. Falsafah hijrah ini dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w ketika baginda menegur kata-kata Saidina Umar kepada Bilal 'Wahai anak hitam'. Baginda berkata kepada Umar 'Sesungguhnya pada diri engkau ada ciri jahiliyah'.

Falsafah hijrah yang telah disemai dan dididik oleh Rasulullah s.a.w ke dalam diri para sahabat r.a ini perlu dihayati oleh generasi Islam masa kini. Sekiranya dengan berbekalkan falsafah hijrah, Rasulullah s.a.w berjaya membentuk sebuah masyarakat Islam yang unggul dan menjadi tuan kepada masyarakat-masyarakat yang bukan Islam di sekeliling Madinah, maka mengapa tidak generasi Islam masa kini menjadikannya sebagai neraca untuk membentuk masyarakat yang unggul dan disegani dalam segenap lapangan.

Sekiranya masyarakat Islam yang awal amat disegani dan dihormati oleh masyarakat yang bukan Islam, mengapa pula umat Islam hari ini dengan bilangannya yang ramai, muka buminya yang luas, kekayaan bahan mentahnya yang melimpah ruah dan cerdik pandainya yang tidak kurang hebatnya, masih menjadi masyarakat yang dipandang rendah dan diperlekehkan oleh masyarakat bukan Islam. Masyarakat Islam masa kini juga telah dijadikan oleh masyarakat bukan Islam terutama masyarakat Barat sebagai tempat memasarkan barangan keluaran mereka. Al Syahid Sayid Qutub ada menyatakan, 'Sehinggakan untuk mendapatkan sebatang jarum pun orang Islam terpaksa mengimportnya dari Barat'.

Di samping membawa para sahabat r.a berhijrah ke Madinah, Rasulullah s.a.w telah turut membawa bersama-sama minda mereka untuk berhijrah dari kepercayaan, tasawur, sikap dan akhlak jahiliyah kepada kepercayaan, tasawur, akhlak dan sikap yang bertepatan dengan wahyu yang diturunkan oleh Allah s.w.t. Sebagai contoh, peristiwa ketika berada di dalam gua Tsur, baginda telah membetulkan kepercayaan dan tasawur yang ada di dalam minda Saidina Abu Bakar r.a. Tatkala melihat Saidina Abu Bakar r.a berada di dalam keadaan ketakutan dan kerisauan iaitu bimbangkan baginda berjaya dikesan atau diapa-apakan oleh kaum musyrikin Mekah, baginda pun berkata 'Janganlah engkau berasa risau dan sedih, sesungguhnya Allah ada bersama-sama kita'.

Dalam merobohkan tasawur jahiliyah daripada masyarakat Islam yang baru mengenal agama Islam tentang konsep persaudaraan sesama manusia tanpa mengenal batas sempadan negeri, warna kulit dan keturunan, baginda telah mempersaudarakan antara dua golongan yang mempunyai perbezaan yang jauh dari segi status. Baginda telah mempersaudarakan antara golongan yang mempunyai rumah dan tanah (Ansar) dengan golongan pendatang (Muhajirin) yang tidak mempunyai apa-apa selain dari diri dan agama yang mereka yakini.

Dalam menghijrahkan tasawur mereka tentang kedudukan seorang nabi atau rasul, baginda telah menunjukkan betapa diri baginda adalah manusia biasa yang tidak ada bezanya dengan manusia lain. Cuma bezanya Allah telah menurunkan wahyu kepadanya dan menyuruhnya supaya menyampaikannya pula kepada seluruh manusia. Di dalam peperangan Badar, baginda telah menunjukkan betapa orang lain juga berhak memberikan pendapat sekalipun dalam saat-saat genting. Apabila salah seorang dari sahabat baginda mencadangkan supaya tentera Islam berkubu di bawah lembah berhampiran dengan kawasan air, baginda telah menerima cadangan tersebut sekalipun pada asalnya baginda mempunyai perancangan dan cadangan yang tersendiri. Di dalam peperangan Uhud pula, baginda telah bersama-sama berjuang sehingga ditimpa kecederaan yang biasa dialami oleh pejuang-pejuang lain. Di dalam peperangan Ahzab, baginda turut bersama-sama mengerah tenaga untuk menggali parit yang telah dicadangkan oleh Salman al Farisi. Malah diriwayatkan bahawa baginda telah mengangkat batu yang besar yang tidak upaya diangkat oleh para sahabat r.a yang lain dan baginda telah mengalas batu di perut untuk menahan lapar akibat kekurangan makanan.

Di dalam peperangan Hunain, tatkala tentera Islam melihat bilangan mereka lebih ramai daripada bilangan tentera musuh lalu mereka merasakan bahawa mereka pasti mengalahkan tentera musuh. Namun Allah telah mengajar dan membawa minda mereka berhijrah. Allah s.w.t telah mengajar orang-orang Islam bahawa yang menentukan kemenangan dan kekalahan dalam peperangan itu adalah Allah s.w.t, bukannya bilangan dan kelengkapan yang hebat. Allah s.w.t telah menimpakan kekalahan di pihak tentera Islam sehingga Rasulullah s.a.w pula terdedah kepada serangan dan ancaman pihak musuh sehingga peristiwa ini telah diabadikan oleh Allah s.w.t dalam al-Quran.

Dalam membetulkan tasawur para sahabat r.a tentang kehidupan di dunia, Rasulullah s.a.w telah menghijrahkan minda mereka ketikamana baginda bersama-sama beberapa orang sahabat sedang berehat di bawah sebatang pokok dalam satu perjalanan. Baginda telah berkata kepada para sahabat: 'Sesungguhnya perumpamaan kehidupan dunia adalah seperti kita singgah di bawah pohon ini. Kita hanya singgah buat sementara waktu dan akan meneruskan perjalanan selepas beberapa ketika'. Dalam sabdanya yang lain, baginda telah menjelaskan kepada para sahabat bahawa 'Dunia adalah ladang tempat bercucuk tanam untuk alam akhirat'.

Dalam membetulkan tasawur para sahabat r.a terhadap konsep usaha dalam kehidupan dunia, Rasulullah s.a.w telah menghijrahkan minda para sahabat r.a bahawa sekalipun Islam menekankan bahawa kehidupan akhirat itu merupakan kehidupan yang lebih baik dan kekal tetapi ia bukan bermakna boleh membantutkan usaha manusia ketika hidup di dunia ini. Baginda telah membayangkan, sekalipun seseorang itu tahu bahawa hari kiamat akan berlaku pada keesokan hari namun dia tetap perlu melakukan kerja atau usaha yang sepatutnya dilakukan. Dalam perkara ini, baginda telah bersabda yang bermaksud, 'Sekiranya ditangan kamu ada benih kurma dan kamu tahu bahawa esok akan berlaku hari kiamat, maka hendaklah kamu menanam dan jangan biarkan hari kiamat berlaku tanpa menanam benih kurma tersebut'. Jika difikirkan, apalah faedahnya menanam benih kurma yang sudah pasti tidak akan mengeluarkan hasilnya dalam tempoh beberapa jam sedangkan keesokan harinya akan berlaku hari kiamat. Si penanam sudah pasti tidak akan sempat memakan hasil benih yang ditanamnya itu.

Namun baginda telah melafazkan hadith ini untuk membawa minda para sahabat r.a dan umat Islam bahawa tugas manusia di dunia ini ialah menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan sesempurna yang mungkin tanpa bersikap sambil lewa atau cuai. Ini kerana setiap tugas dan tanggungjawab yang ditunaikan akan dikira oleh Allah sebagai kebajikan sekalipun hasilnya tidak sempat dirasai oleh pelaku ataupun orang lain.

Baginda juga telah menanamkan ke dalam kefahaman masyarakat Islam bahawa alat atau jambatan untuk sampai ke akhirat adalah kehidupan dunia. Mereka yang meninggalkan kehidupan di dunia dengan alasan untuk menumpukan perhatiannya kepada kehidupan akhirat merupakan orang yang tersalah anggap terhadap konsep di dalam kehidupan Islam. Ini kerana kebahagiaan atau penderitaan di akhirat adalah bergantung kepada amalan dan usaha manusia ketika hidup di dunia. Di dunia manusia dipikulkan dengan tanggungjawab dan kewajipan yang mesti ditunaikan dengan sempurna, iaitu apabila sahaja dia bertaraf mukallaf dan berakal. Bagaimana mungkin manusia itu hendak mendakwa kebahagiaan menantinya di akhirat sedangkan dia tidak mengenali kewajipan dan tanggungjawab yang mesti ditunaikan ketika dia hidup di dunia?.

Antara para sahabat r.a yang telah menerima penghijrahan minda yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w ialah Saidina Umar al Khattab r.a. Beliau telah memahami bahawa dalam mencari kemudahan dan bekalan kehidupan dunia, manusia tidak boleh berserah kepada Allah tanpa berusaha. Dengan kefahaman ini, Umar telah memarahi orang Islam yang hanya duduk beribadah di dalam masjid tanpa keluar berusaha mencari rezeki bagi menyara diri dan keluarganya. Beliau telah mengungkap kata-kata yang kekal dalam catatan sejarah Islam yang unggul 'Bagaimana kamu boleh hanya berserah diri kepada Allah sedangkan kamu tahu bahawa langit tidak akan menurunkan hujan emas atau perak'. Saidina Umar r.a juga telah mengeluarkan kata-kata yang menunjukkan penghijrahan minda dan keyakinannya berhadapan sesama makhluk ketika beliau sedang mengucup Hajar al Aswad, 'Wahai batu, sekiranya aku tidak melihat Rasulullah mengucup engkau nescaya aku tidak akan mengucup engkau sepertimana yang aku lakukan sekarang ini'. Begitulah jelasnya tasawur Saidina Umar r.a terhadap Hajar al Aswad yang tidak boleh mendatangkan manfaat atau mudarat kepadanya. Tasawur ini terhasil setelah Umar r.a menerima sinar hidayah dan penjelasan daripada ajaran Muhammad s.a.w yang menanamkan keyakinan bahawa kuasa yang boleh mendatangkan mudarat dan manfaat kepada manusia hanyalah kuasa yang datang dari Allah Tuhan Penguasa alam.

Demikianlah penghijrahan minda yang telah dibawa oleh Islam yang telah disampaikan oleh junjungan besar nabi Muhammad s.a.w. Usaha memahamkan manusia dengan konsep dan tasawur yang telah dibawa oleh baginda itu telah diteruskan oleh para sahabat, para tabi’in, para salafus soleh serta para ulama dan pendakwah di masa dulu dan sekarang. Mereka sentiasa ingin melihat manusia hidup sebagai hamba kepada Allah dan bukannya hamba kepada nafsu atau makhluk lain dan juga jauh dari tasawur atau keyakinan yang tidak menepati ajaran Islam yang sebenar. Ini kerana Islam datang dengan tujuan membebaskan manusia daripada penjajahan minda dan tasawur. Perkara ini telah dijelaskan oleh Ruba’ei bin Umair ketika beliau berhadapan dengan Rustam, panglima perang Rum yang digeruni oleh pihak lawan dan rakan. Rustam telah bertanya kepada Ruba’ei 'Mengapa engkau datang kepada kami ?'. Ruba’ei menjawab 'Kami datang untuk mengeluarkan manusia daripada menjadi hamba sesama manusia kepada menjadi hamba kepada Allah, dari kegelapan syirik kepada cahaya tauhid dan mengeluarkan manusia daripada kesempitan dunia kepada keluasan akhirat'.

Usaha-usaha menghijrahkan minda dan tasawur manusia zaman kini amat perlu dan mesti dilakukan untuk memastikan semua manusia akan terus menjalani kehidupan dengan berlandaskan pemikiran bahawa dirinya adalah bebas dari sebarang perhambaan dan ketundukkan sama ada sesama manusia atau makhluk lain. Dalam erti kata lain, usaha-usaha membawa minda dan tasawur masyarakat Islam masa kini untuk berhijrah ke alam suluhan cahaya hidayah Ilahi amat perlu bagi memastikan setiap individu muslim menikmati kemerdekaan yang penuh dari sebarang unsur penjajahan sama ada penjajahan lahiriah ataupun batiniah. Dengan membebaskan diri dan jiwa manusia dari perhambaan atau penjajahan serta menjadikannya bebas merdeka, kita akan dapat melihat manusia berupaya mengketengahkan sifat-sifat positif yang wujud di dalam diri mereka dan mengusir jauh sifat-sifat negatif yang sentiasa menghalang perkembangan dan pembangunan manusia.

Kemerdekaan dan kebebasan manusia dari segi lahiriah dan batiniah ini amat perlu untuk menuju ke sebuah masyarakat yang matang dan bertamadun. Segenap lapisan masyarakat sama ada di kampung, di kota, pelajar, pendidik, ahli perniagaan, ahli politik, ahli agama, pemimpin, pentadbir dan sebagainya perlu menghayati penghijrahan minda dan tasawur sepertimana yang telah dihayati oleh para sahabat Rasulullah s.a.w di suatu ketika dahulu. Sungguhpun negara kita telah memperolehi kemerdekaan semenjak berdekad dahulu, namun penjajahan minda masih lagi wujud dan bertapak kuat sehingga sekarang. Masih ada di kalangan masyarakat negara Malaysia yang berkeyakinan bahawa barangan buatan tempatan mempunyai mutu yang lebih rendah berbanding barangan buatan luar negeri terutama yang datang dari Barat.


Masih juga ramai yang mempunyai tasawur bahawa negara ini hanya layak ditadbir dan diperintah mengikut telunjuk Barat atau kuasa asing kerana masyarakat Malaysia adalah masyarakat yang kurang pengalaman dan dangkal dalam segi pemerintahan. Sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan umat ini pasti terserlah apabila mereka telah benar-benar melakukan penghijrahan minda dan tasawur sebagaimana yang dilakukan oleh generasi hijrah para sahabat Rasulullah s.a.w lebih 1400 tahun dahulu.

TAHUN BARU MASIHI DAN HIJRAH: RASA LEKA VS RASA SYUKUR

Tahun baru yang tiba membuka lembaran episod baru dalam kehidupan kita umat manusia. Siang dan malam yang silih berganti tanpa jemu melengkapkan peredaran sehingga cukup setahun tidak kira tahun hijrah dan masihi yang akan disambut selang beberapa hari. Umat manusia menggaru kepala memikirkan kenapa begitu cepat masa berlalu sedangkan baru beberapa kerja dilakukan, baru beberapa agenda dilaksanakan dan kenapa masa berputar sebegitu pantas.

Anak-anak di Palestin terus menghitung hari bila agaknya mereka merdeka kerana setiap hari mereka senantiasa mendengar dentuman bom dan nyanyian peluru yang tidak bermata oleh Yahudi dan Amerika. Anak-anak muda Malaysia menghitung waktu bila tahun baru masihi akan disambut untuk melihat konsert-konsert, berpesta minuman keras, berhibur sehingga melalaikan dan yang menjadi simbol tahun baru bermula dengan percikan bunga api di langit-langit bandaraya metropolitan di Negara Malaysia .

Tahun 1430 hijrah akan tiba dengan membawa seribu erti kepada umat Islam yang mengerti erti sebuah kehidupan yang diredhai oleh Allah s.w.t. Peristiwa hijrah yang disambut saban tahun mengajak seluruh umat Islam untuk bermuhasabah dan mengkoreksi diri selama setahun apa yang telah dilakukan dan tidak terhenti sekadar itu sahaja, tetapi hijrah perlakuan apa yang dilakukan untuk mendapat redha Allah s.w.t. Allah s.w.t berfirman dalam surah Al-Ahsr yang bermaksud:

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati dengan kesabaran.”

Dalam ayat ini membawa kita meneliti setiap perincian detik waktu yang kita lalui sama ada diisi dengan perkara sia-sia atau dengan jalan yang diredhai oleh Allah s.w.t. Apabila melihat situasi di Malaysia pengkoreksian dan muhasabah sering diabaikan terutamanya kepada anak muda apabila tibanya tahun baru apatah lagi tahun baru hijrah.

Jika ditanya kepada anak muda dan remaja kini “ apa yang anda faham erti hijrah?”. Semestinya ramai yang menggeleng kepala dan bertanya kembali sambil menggaru kepala tanda meminta kepastian “hijrah?”. Bermain di minda masyarakat kenapa anak muda sedemikian jadinya tidak mengerti langsung erti hijrah.

Hijrah yang harus difahami adalah peristiwa perpindahan Nabi Muhammad s.a.w dan Umat Islam Mekah ke bumi Madinah untuk menyebarluaskan agama Islam setelah 13 tahun berdakwah kepada penduduk Mekah dengan hasil yang sedikit. Bertitik tolak peristiwa hijrah inilah Islam berkembang pesat sehingga seantero dunia mengenali Islam sehingga ke hari ini. Bersempena dengan penghijrahan inilah perhitungan tahun hijrah dimulakan apabila Saidina Umar Al-Khattab khalifah Islam yang kedua memanggil sahabat-sahabatnya untuk berbincang perkiraan tahun Islam setelah banyak peristiwa yang bersejarah dilalui mereka dengan pelbagai perbezaan pendapat tentang tarikh-tarikh peristiwa tersebut. Saidina Umar Al-Khattab telah memutuskan bahawa 1 Muharram merupakan hari pertama tahun Islam sementara Hijrah sebagai tahun bersempena perpindahan Nabi Muhammad s.a.w ke bumi Madinah yang pada ketika itu yang dinamakan Yathrib. Sebenarnya 1 Muharram bukanlah tarikh tepat perpindahan Rasulullah s.a.w ke Madinah. Rasulullah s.a.w telah berpindah dari Mekah al-Mukarramah pada 1 Rabiul awwal dan sampai ke Madinah pada 12 Rabiul awwal selepas 13 tahun menjadi Rasul. Saidina Umar r.a telah berijtihad dan memperawalkan 2 bulan untuk menjadikan 1 Muharram tarikh memperingati peristiwa besar perpindahan Rasulullah s.a.w.

Abu Mazaya Al-Hafiz dalam karangannya Sirah Dan Riwayat Hidup Nabi Muhammad S.A.W telah menceritakan bagaimana perit jerih Rasulullah s.a.w dalam perjalanan ke Madinah kerana musyrikin Mekah memburu Rasulullah. Bukan sekadar itu sahaja Saidina Ali sanggup mempertaruhkan nyawanya menggantikan tempat tidur Nabi s.a.w ketika malam penghijrahan berlaku. Seharusnya selaku umat Islam kita perlu mengerti bahawa hijrah bukanlah hanya soal perpindahan dari Mekah ke Madinah tetapi lebih dari itu seperti pembebasan dari belenggu penyiksaaan musyrikin Mekah terhadap muslimin Mekah. Penghijrahan ini jugalah bermulanya pembentukan Negara Islam yang unggul sehingga dikagumi oleh semua bangsa dan negara pada ketika itu kerana mempunyai sistem pentadbiran yang teratur dan tersendiri berteraskan Al-Quran dan Al-Sunnah. Rasulullah juga mempereratkan dengan mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar dalam memperkukuhkan Islam. Allah s.w.t merakamkan peristiwa persaudaraan ini dalam surah Al-hasyr yang bermaksud:

“Dan orang-orang yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman (Ansar) sebelum kedatangan mereka (Muhajirin), mereka (Ansar) mencintai orang yang berhijrah kepada mereka (Muhajirin), dan mereka (Ansar) tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin) dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin) atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan dan siapa yang dipelihara dari kebakhilan dirinya, mereka Itulah orang orang yang beruntung”

Dalam ayat ini Allah menceritakan bahawa bagaimana golongan Ansar membantu golongan Muhajirin Mekah dengan segala yang ada atas nama kecintaan persaudaraan Islam sehingga sanggup berkongsi apa sahaja dan sanggup memberikan separuh dari harta golongan Ansar kepada muhajirin.

Dengan peristiwa hijrah yang telah dilalui 1430 tahun ini seharusnya umat Islam mengerti erti sebenar hijrah agar dapat diimplimentasikan dalam kehidupan. Langkah NGO Teras Penggupayaan Melayu (TERAS) membesarkan tarikh hijrah ini amatlah dihargai kerana TERAS telah mengambil tarikh 1 Muharram sebagai tarikh muktamar justeru pengkoreksian gerak kerja yang dilakukan selama satu tahun. Presiden TERAS Tuan Haji Mohd Azmi Abdul Hamid menyatakan bahawa tarikh 1 muharram ini dijadikan asas permulaan setahun kerana umat Islam sudah melupakan erti hijrah apatah lagi kesedaran terhadap Islam kian dipinggirkan maka sambutan 1 muharram haruslah diagungkan agar Islam dipandang tinggi.

Bagi Umat Islam tahun Hijrah ini adalah detik memuhasabahkan diri dengan perlakuan terdahulu. Pengkoreksian diri memungkinkan umat Islam mengerti erti keperibadian yang cemerlang berlandaskan Al-Quran dan Al-Sunnah. 1 Muharram juga Umat Islam digalakkan memohon ampun kepada kepada Allah s.w.t atas dosa-dosa lampau agar Allah membuka pintu taubat-Nya kepada hamba-Nya yang soleh. Ibadah-ibadah juga perlu diperbanyakkan menjelangnya tahun baru hijrah ini kerana Insan yang unggul adalah Insan yang lebih baik peribadi dan ibadahnya dari yang masa lepas. Nilai-nilai ibadah perlu dipertingkatkan supaya rohani jasmani senantiasa hampir dengan Allah s.w.t.

Kebanyakan di Malaysia 1 Muharram disambut dengan bacaan Yasin dan solat hajat secara berjemaah di peringkat surau, madrasah dan juga masjid. Dengan cara inilah umat Islam berkumpul mengkoreksi diri dan secara tidak langsung dengan pertemuan sebegini mengeratkan ukhuwah dan bertepatan dengan peristiwa hijrah iaitu merperkukuhkan persaudaraan. Dengan persitiwa tahun baru juga digalakkan umat Islam memaafkan kesalahan sahabat handainya untuk merapatkan silaturrahim justeru meninggkan martabat Islam.

Selang beberapa hari perpindahan tahun hijrah kepada 1430 hijrah, menjelang pula perpindahan tahun masihi dari tahun 2008 kepada 2009. 31 Disember menjadi penantian sebilangan anak muda terutamanya di kota untuk menyembut perayaan sambutan tahun baru dengan riang gembira dan diserikan lagi kononnya dengan aktiviti yang berfaedah seperti hiburan konsert oleh artis-artis terkemuka, hidangan minuman keras, pesta seks, pesta buih, merempit dan sebagainya.

Dataran Merdeka, Bukit Bintang, Bangsar dan Kuala Lumpur City Center KLCC menjadi tempat bertandang anak muda untuk mencari erti tahun baru. Apabila ditanya kepada anak muda “ apa erti sebuah tahun baru dan di manakah tahun baru wajar disambut?” pasti ramai yang menjawab erti sebuah tahun baru adalah kemerdekaan jiwa anak muda dengan berorientasikan hiburan dan di tempat-tempat hiburanlah harus disambut tahun baru. Kemeriahan tahun baru bukanlah hanya dirasai di Malaysia bahkan satu dunia menyambut kedatangan tahun baru ini dan sambutannya seakan-akan sama setiap negara seperti percikan bunga api dan juga konsert-konsert oleh artis-artis terkenal.

Selaku rakyat Malaysia yang prihatin saling bertanya sesama sendiri adakah dengan hiburan sebegini anak muda terutamanya berubah menjadi baik atau semakin teruk ditelan hiburan yang melalaikan.

Setiap tahun kita melihat di tempat-tempat yang menjadi tumpuan anak muda kelihatan sebuah masyarakat yang hancur ditelan kemodenan seperti selari dengan pembangunan yang dikecapi. Berbondong-bondong anak muda dengan pakaian ala barat yang diagungkan, anak-anak Melayu seperti hilang kemalayuannya dengan cara penampilan yang sangat asing dengan budaya tempatan seperti kembali ke zaman nomad yang tidak berbaju terutamanya perempuan, rambut-rambut yang diwarnakan dan segala macam jenis sifat yang sukar digambarkan di akal kita berada di bumi Malaysia yang telah merdeka 50 tahun. Persoalannya adakah kemerdekaan yang dikecapi selama 50 tahun hanyalah dari segi kemerdekaan penjajahan kolonial dan tidak merdeka dari segi minda.

Sambutan tahun baru di Malaysia yang disambut satu malam untuk menyembut kehadiran erti setahun yang akan datang seakan-akan tidak bererti apabila masalah sosial semakin menjadi-jadi. Tanpa segan silu apabila percikan bunga api di udara mengagumkan penonton ada sebilangan anak muda Melayu yang berciuman seolah-olah kelihatan pesta sambutan tahun baru ini seperti di negara-negra barat bahkan lebih dari itu. Sambutan ini juga mencerminkan hilangnya nilai-nilai ketimuran yang didewakan oleh sesetengah pemimpin yang tidak turun melihat gelagat anak muda dewasa ini.

Tepat detik 12.00 malam tempat-tempat yang dikunjungi anak muda sudah tidak terkawal apabila lelaki dan perempuan berpelukan, menari bersama, berciuman, bahkan ada tempat yang menjadikan sambutan tahun baru sebuah pesta seks percuma. Selepas daripada detik percikan bunga api anak muda ada yang memperjudikan nyawa dengan merempit dan ada yang lebih dasyat lagi menunggu tarikh 1 Januari 2009 untuk berkelahi dan bergaduh sesama sendiri dan yang lebih menyedihkan bangsa Melayu sendiri yang melakukan perkara sedemikian. Jika kita masih meragui perkara ini, boleh sahaja kita melihat gelagat-gelagat ini terpampang di dada-dada akhbar dan paparan televisyen pada keesokan harinya.

Seharusnya semua pihak haruslah berganding bahu memikirkan masalah sosial yang menyelubingi anak muda Malaysia supaya mereka sedar erti sebuah tahun baru atau penghijrahan. Sememangnya anak muda yang berdarah panas kononnya mahukan hiburan, bekas Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Haji Md. Hashim Haji Yahaya menyatakan bahawa program hiburan dan seumpamanya yang boleh diadakan bagi menyerikan kedatangan tahun baru seperti dendangan nasyid serta puisi Islami yang dapat membangkitkan kesedaran terhadap tangggungjawab serta perasaan cinta akan negara. Langkah ini telah diambil oleh Masjid Syakirin KLCC dengan mengadakan nasyid dan juga puisi-puisi Islami dalam menyambut sambutan tahun baru tetapi kehadiran pengunjung yang datang tidak sehebat konsert-konsert hiburan yang melalaikan oleh artis-artis terkenal. Kita bukalah menuduh bahawa konsert sebegitu tidak bagus tetapi konsert-konsert sebegitu haruslah berorientasikan Islam agar kesedaran cinta akan tanah air, agama tersemai kukuh berlandaskan cara Islam dan bukannya bertuhan cara barat yang songsang.

Program-program kesyukuran sambutan tahun baru perlulah diperbanyakkan agar masyarakat dapat menginsafi diri dan juga mengkoreksi diri supaya menjadi insan dan masyarakat yang benar-benar bertamadun. Pihak kerajaan perlulah memainkan peranan dalam soal ini di bawah pengelolaan menteri berwajib supaya hiburan rantaian hidonosme dapat dijauhi dan majlis kesyukuran sambutan tahun baru diperhebatkan.

Bantuan-bantuan NGO juga perlu diperkuatkan dengan bantuan pihak berwajib seperti Jabatan Agama Islam Negeri.

Peranan yang terpenting perlu dimainkan adalah peranan ibu bapa. Ini kerana ramai yang hadir ke tempat-tempat sedemikian adalah remaja di bawah 18 tahun yang berada di bawah jagaan ibu bapa. Maka ibu bapa harus mengewasi tingkah laku anak supaya tidak tergelincir ke arah yang buruk.

Kehidupan yang dilalui perlulah bermatlamat jelas, semua pihak harus berganding bahu bersama-sama memperkukuhkan sambutan tahun baru ini dengan program dan majlis-majlis yang berfaedah yang bukannya berpaksikan hiburan semata-mata. Muhasabah diri perlulah menjadi teras program dan majlis yang disambut agar masyarakat mengerti sebuah kehidupan yang bermakna. Seluruh rakyat Malaysia haruslah menyemai nilai-nilai moral dan modal insan yang tinggi agar seluruh dunia memandang bahawa rakyat di Negara Malaysia adalah bertamadun tinggi dan perlu diteladani.

Motivasi Dr Shukri Abdullah - Bhg 2

Motivasi Dr Shukri Abdullah - Bhg 1